Nu Metal bukan sekadar genre muzik, ia adalah revolusi yang menggegarkan dunia pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an. Menurut Shavo Odadjian (System Of A Down), Nu Metal adalah satu era yang tidak mungkin akan berulang. Muzik nu metal yang menggabungkan keagresifan heavy metal, ritma hip-hop dan lirik yang penuh emosi, nu metal melahirkan gelombang artis yang berani mencabar norma industri muzik metal pada ketika itu yang rata-rata bermain muzik glam rock dan grunge. Tetapi lebih menarik, pengaruhnya masih hidup hingga hari ini.
Dari riff gitar berat yang menghentam hingga vokal yang mentah dan penuh perasaan, nu metal membentuk landskap muzik moden dalam cara yang tidak disangka-sangka. Artis pop, hip-hop dan alternatif kini mengadaptasi unsur dari era kegemilangan ini, membuktikan bahawa warisannya masih relevan.
Penulisan ini kita akan menyelami tiga album nu metal paling berpengaruh iaitu album yang bukan sahaja mendefinisikan genre ini tetapi juga menjadi cetusan inspirasi kepada generasi artis hari ini. Jika ada peminat muzik yang beremosi, berat dan penuh inovasi, jangan lepaskan peluang untuk mengetahui bagaimana album-album ini masih mempengaruhi dunia muzik hingga kini.
1. Korn – Korn (1994)

Kumpulan Korn sering dianggap sebagai pelopor nu metal dan album sulung mereka pada tahun 1994 mengubah norma sedia ada dalam muzik heavy metal. Korn memperkenalkan bunyi baharu dalam dunia muzik dengan menggunakan gitar 7 tali yang diturunkan nadanya agar lebih berat dan riffnya berorientasikan groove. Gabungan ini bersama elemen seperti DJ scratching dari turn-table dan perkusi berinspirasikan hip-hop, menghasilkan bunyi yang berat tetapi masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Album ini diinspirasikan dari pelbagai gabungan album rujukan seperti unsur funk (Red Hot Chili Peppers), hip-hop (Cypress Hill, The Pharcyde), heavy metal (Pantera, Sepultura) dan Industrial Metal (Nine Inch Nails). Brian “head” Welch & James “Munky” Shaffer memperkenalkan penggunaan gitar Ibanez 7 tali dengan tuning yang rendah kemudiannya menjadi ciri utama nu metal. Album ini nampak lebih kepada pemberontakan kepada glam metal dan dominasi muzik grunge seperti Nirvana dan Alice In Chains.
Korn adalah artis yang mempengaruhi ramai artis nu metal pada tahun 2000-an. Jika disenaraikan mungkin tidak cukup memenuhi ruangan penulisan ini. Tetapi jika anda ingin mendengar kumpulan yang hampir sama dengan gaya Korn adalah album terawal kumpulan Adema. Artis yang lahir pada 2020-an yang kuat dipengaruhi dengan gaya Korn adalah seperti Tetrach, Wargasm & Poppy. Bagi saya, kumpulan terbaik menggayakan gabungan muzik Korn dengan deathcore adalah Emmure.
2. Deftones – White Pony (2000)

Jika album sulung Korn membina asas nu metal, White Pony oleh Deftones memperluaskan sempandan genre ini dengan menggabungkan bunyi berat dengan elemen ekperimental. Album ini terkenal kerana penghasilan bunyi yang unik. Selain riff gitar berat, White Pony menampilkan lapisan bunyi yang lebih melankolik dan sinematik, menjadikan muzik mereka lebih kompleks dan mendalam.
Pengaruh muzik 80-an sangat kuat dalam album ini siapa sangka kumpulan 80-an seperti Depeche Mode dan The Cure mampu membentuk muzik nu metal yang unik. Chino Moreno pernah menyebut bahawa Hum adalah salah satu pengaruh terbesar dalam penciptaan White Pony. Unsur atmosfera dan ethereal dalam muzik Hum boleh didengar dalam lagu seperti “Digital Bath” dan “Knife Prty”. Unsur gelap, emosional dan lapisan bunyi yang kompleks sangat dipengaruhi oleh kumpulan The Cure, mencipta bunyi yang lebih immerse dan mendalam.
Album ini menunjukkan gabungan berani unsur shoegaze, post-rock dan elektronik ke dalam nu metal, membuktikan bahawa genre ini boleh berkembang melebihi batas tradisional. Pendekatan ini menjadi inspirasi kepada ramai artis moden yang juga menggabungkan pelbagai genre dalam muzik mereka. Artis yang paling kuat dipengaruhi oleh Deftones seperti kumpulan Architects dan Loathe. Loathe adalah kumpulan terbaik mempunyai unsur bunyi ikonik dari Deftones seperti dalam album mereka “I Let It In and It Took Everything”.
3. Linkin Park – Hybrid Theory (2000)

Kumpulan lagenda yang tidak asing lagi dalam dunia muzik metal. Jika Deftones meluaskan genre nu metal untuk lari dari bunyi tradisional, Linkin Park berjaya membawa muzik ini ke arus perdana dengan kejayaan komersial yang luar biasa dan pengaruh yang meluas melalui album Hybrid Theory. Album ini memadukan riff gitar berat dengan rentak hip-hop, tetapi dalam susunan lebih kemas dan mudah diakses oleh pendengar yang bukan peminat metal tegar.
Hybrid Theory adalah album yang melambangkan gabungan dua elemen muzik yang berbeza iaitu rap dan metal. Pengaruh metal lebih kepada bunyi gitar dari kumpulan U2 dan Deftones. Produksi album ini juga mempunyai kualiti yang sangat tinggi menyebabkan setiap gabungan dalam lagu didengari dengan jelas oleh pendengar. Penggunaan bunyi gitar dengan tuning rendah, teknik mixing inovatif dan elemen hip-hop dari turntable dan sampling dalam album ini menjadi standard dalam produksi muzik moden.
Pengaruh Linkin Park dalam arena muzik metal tidak boleh dipertikaikan lagi. Malah Linkin Park juga memberi inspirasi kepada pemuzik bukan metal dan rock. Artis seperti Billie Eilish, Halsey dan The Weeknd telah menyebut Hybrid Theory sebagai salah satu pengaruh terbesar dalam muzik mereka. Kumpulan metal yang lebih banyak dipengaruhi oleh Linkin Park nampak dalam album kumpulan Of Mice & Men, One Ok Rock dan Bring Me The Horizon.