Dalam Islam, assabiyah merujuk kepada kesetiaan yang membuta tuli kepada suku, kaum atau kumpulan sendiri, sehingga menindas atau meremehkan pihak lain. Konsep ini dikecam kerana ia membawa kepada pepecahan, kezaliman dan ketidakadilan. Oleh itu, jika pembinaan negara bangsa mengutamakan nasionalisme melampau sehingga menindas kaum lain, ia boleh dianggap sebagai bentuk assabiyah yang dilarang.
Ibnu Khaldun, seorang sejarwan dan ahli sosiologi abad ke-14, mengamati bahawa banyak dinasti dan empayar bangkit berkuasa melalui assabiyah yang kuat tetapi akhirnya merosot apabila perpaduan sosial ini melemah. Beliau mencatat bahawa apabila golongan pemerintah menjadi terbiasa dengan kemewahan dan kesenangan, pengaruh mereka semakin pudar, mengakibatkan perpecahan dalaman dan meningkatkan kerentanan terhadap ancaman luar. Corak ini dapat dilihat dalam pelbagai konteks sejarah, di mana kesatuan awal yang membantu kebangkitan sesebuah dinasti semakin terhakis dari masa ke masa, akhirnya menyumbang kepada kejatuhannya.
Berikut adalah beberapa contoh sejarah yang menunjukkan kesan negatif assabiyah yang berlebihan.
1. Perpecahan dalam Kalangan Bangsa Arab Sebelum Islam
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Arab hidup dalam sistem kabilah yang kuat, di mana setiap suku sangat mementingkan kesetiaan kepada kabilah mereka sendiri. Semangat assabiyah yang melampau ini sering kali menyebabkan peperangan yang berpanjangan antara suku-suku Arab, seperti konflik antara suku Aus dan Khazraj di Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Peperangan ini melemahkan kekuatan kolektif mereka dan menghalang pembentukan perpaduan yang lebih luas. Kedatangan Islam berjaya menyatukan suku-suku ini di bawah panji agama yang sama, mengatasi perpecahan yang disebabkan oleh assabiyah.
2. Kejatuhan Dinasti Abbasiyah
Dinasti Abbasiyah pada mulanya mencapai kegemilangan dengan bantuan semangat assabiyah yang positif (iaitu semangat kekitaan yang tinggi) berjaya menyatukan kelompok etnik dan suku Arab dan bukan Arab. Namum, apabila semangat kesukuan ini berubah menjadi fanatisme dan kepentingan peribadi, ia membawa kepada perpecahan dalaman. Golongan pemerintah mula mengutamakan kepentingan suku atau kumpulan mereka sendiri, mengabaikan keadilan dan kesejahteraan umum. Akibatnya, dinasti ini menjadi lemah dan jatuh akibat serangan dahsyat oleh tentera Monggol pada 1258 Masihi.
3. Kejatuhan Empayar Uthmaniyah
Empayar Uthmaniyah, merupakan empayar Islam terkuat dan bertahan lebih lama selama 600 tahun. Empayar yang oleh kumpulan Turki Saljuk ini mula mengalami kejatuhan pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Kebangkitan nasionalisme etnik di kalangan pelbagai kumpulan dalam empayar seperti orang Yunani, Serbia dan Arab membawa kepada pemberontakan dan gerakan pemisah. Fanatisme etnik ini menyebabkan perpecahan dalaman dan melemahkan empayar, yang akhirnya runtuh selepas Perang Dunia Pertama.
4. Kejatuhan Empayar Mughal
Empayar Mughal yang diasaskan pada tahun 1526 oleh Babur, pada mulanya berkembang pesat kerana perpaduan dalaman yang kuat dan kepimpinan yang berkesan. Namum, lama-kelamaan, golongan pemerintah semakin tenggelam dalam kemewahan dan terputus hubungan dengan rakyat biasa. Keterasingan ini melemahkan solidariti dalaman yang sebelum ini menyatukan empayar. Apabila para pemerintah lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan, perpecahan dalaman semakin kuat, menyebabkan ketidakcekapan dalam pentadbiran dan meningkatkan kelemahan terhadap ancaman luar. Kemerosotan assabiyah ini akhirnya menyumbang kepada kejatuhan Empayar Mughal.
5. Konflik Etnik di Rwanda
Walaupun bukan dalam konteks Arab atau Islam, semangat assabiyah dapat dilihat dalam tragedi gen0sid di Rwanda pada tahun 1994. Ketegangan antara dua kumpulan etnik utama, iaitu Hutu dan Tutsi, dipergiat oleh semangat kesukuan yang melampau. Fanatisme etnik ini membawa kepada pemb4n4han beramai-ramai, di mana lebih daripada 800,000 orang Tutsi dan Hutu terb4n4h dalam masa 100 hari. Ini menunjukkan bagaimana assabiyah yang tidak terkawal boleh membawa bencana kepada kemanusiaan.
6. Kejatuhan Empayar Rom Barat
Empayar Rom Barat mengalami kejatuhan pada abad ke-5 Masihi, sebahagiannya disebabkan oleh ketegangan etnik dan perpecahan dalaman. Kemasukan suku-suku Jermanik seperti Visigith, Vandals dan Ostrogoth ke dalam wilayah Rom menyebabkan konflik etnik dan ketidakstabilan politik. Kesetiaan yang kuat kepada identiti etnik masing-masing menghalang asimilasi budaya dan politik, yang akhirnya melemahkan struktur empayar dan menyumbang kepada kejatuhannya.
7. Kejatuhan Empayar Austria-Hungary
Empayar Austria-Hungary adalah sebuah negara multietnik yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Jerman, Hungary, Czech, Slovak dan lain-lain. Pada awal abad ke-20, kebangkitan nasionalisme etnik di kalangan kumpulan-kumpulan ini menyebabkan ketegangan dan konflik dalaman. Fanatisme etnik dan keinginan untuk penentuan nasib sendiri di kalangan kumpulan-kumpulan ini melempahkan empayar, yang akhirnya runtuh selepas Perang Dunia Pertama.
Kesimpulan
Contoh-contoh di atas menggambarkan bahawa semangat assabiyah yang berlebihan boleh membawa kepada perpecahan, konflik dan kejatuhan tamandun. Negara Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai bangsa majmuk. Ketaksuban sesuatu bangsa untuk mendominasi dalam pemerintahan akan menyebabkan wujud ketidakadilan dan boleh menyebabkan perpecahan negara bangsa. Oleh itu, penting untuk memastikan bahawa semangat kesukuan atau kebangsaan tidak mengatasi prinsip keadilan dan kemanusiaan yang universal.