Di dalam dunia ini ada banyak genre muzik. Ada rock, pop, jazz, metal, hip-hop dan kemudiannya ada muzik yang kita sendiri tidak pasti nak letak dalam kategori mana. Ada band yang kedengaran seperti manusia biasa, dan ada juga bunyinya macam alien baru belajar main gitar.
Sejarah muzik dipenuhi dengan kumpulan-kumpulan muzik yang pelik, eksperimental dan luar biasa. Kebanyakkan daripada mereka kekal sebagai artis bawah tanah (underground), disayangi oleh peminat setia yang memakai baju pelik dan berbincang tentang muzik mereka di forum-forum misteri di internet. Tapi entah macam mana, ada juga yang berjaya tembus ke arus perdana dan jadi terkenal.
Bayangkan ada satu kumpulan muzik memakai topi berbentuk mangkuk, satu lagi yang suka menyembur darah palsu, dan satu lagi yang menjerit seperti orang dirasuk sebelum tiba-tiba menyanyi macam penyanyi opera. Semua ini mendapat jutaan peminat serta tempat di carta muzik!
Jadi bagaimana band-band yang pelik ini boleh berjaya? Adakah dunia semakin menerima kegilaan atau kita semua dah semakin pelik? Jom kita lihat 5 band paling aneh yang sebenarnya terkenal di arus perdana.
1. DEVO – Perintis Muzik New Wave Yang Unik

DEVO bukan sekadar band biasa. Mereka adalah eksperimentasi seni, sindiran sosial yang berbunyi elektronik dan kumpulan manusia yang kelihatan seperti pekerja makmal futuristik dari tahun 1980-an. Jika anda melihat sekumpulan lelaki memakai topi merah berbentuk mangkuk terbalik sambil menari seperti robot yang mengalami keralatan sistem, besar kemungkinan itu adalah DEVO.
Apa yang menjadikan DEVO pelik ialah mereka percaya bahawa manusia sebenarnya tidak berkembang, tetapi semakin mundur (de–evolution). Oleh itu muzik mereka dipenuhi dengan sindiran tajam terhadap budaya pop yang popular pada ketika itu. Muzik-muzik DEVO adalah berbentuk elektronik bergaya minimalis dan aneh. Dengan vokal yang kedengaran seperti AI yang baru diprogram dengan lirik sindiran tetapi dengan cara yang pelik dan lucu.
Pada tahun 1977, DEVO menarik perhatian David Bowie dan Iggy Pop yang melihat muzik mereka sebagai satu arus yang baharu. David Bowia malah mengatakan bahawa DEVO adalah band dari masa depan. Tetapi kejayaan sebenar mereka datang pada tahun 1980 dengan lagu “Whip It” dengan video muzik yang kelihatan seperti eksperimen sains yang gagal.

Walaupun DEVO bukan lagi nama besar dalam industri muzik moden, pengaruh mereka tetap kekal kuat. Mereka membuka jalan kepada banyak band eksperimental lain dan menjadi ikon budaya pop yang aneh. Bahkan ramai artis moden seperti Weezer, Jack White dan Nine Inch Nails mengaku bahawa mereka mendapat inspirasi daripada DEVO.
2. PRIMUS – Band Yang Menggabungkan Funk dan Metal

Primus adalah kumpulan yang sangat teknikal dari segi permainan muzik tetapi tidak pernah menganggap diri mereka terlalu serius. Vokal suara kedengaran seperti kacukan antara orang mabuk dan karakter kartun, muzik mereka terlalu unik untuk dikategorikan dan lirik mereka berkisarkan tentang memancing, lumba kereta dan watak-watak pelik yang anda tidak tahu sama ada mahu ketawa atau takut.
Apa yang membuatkan mereka pelik adalah gaya permainan gitar bass Les Claypool yang unik. Les Claypool adalah jantung dan otak Primus. Seorang pemain bass yang boleh membuat bunyi seperti makhluk asing bermain slap bass sambil tergelak sendiri. Les Claymore menjadikan Primus memainkan instrumen bass sebagai alat muzik utama dan gitar pula menjadi alat tambahan. Campuran muzik funk, psychedelic rock dan elemen kartun menjadikan Primus satu-satunya band yang berbunyi seperti Primus. Drum mereka seolah-olah dimainkan oleh robot yang sudah bosan dengan hidup dan bunyi gitar yang kedengaran seperti soundtrack filem seram tetapi dengan vibe jenaka slapstick.

Kenapa Primus boleh berjaya? Jawapannya adalah tiada band yang boleh menyamakan bunyi seperti Primus! Album pertama mereka iaitu “Frizzle Fry” pada tahun 1990 menjadi lagenda dalam kalangan peminat muzik alternatif. Video muzik “ Jerry Was A Race Car Driver” mempunyai elemen pelik seperti animasi stop-motion dari dimensi lain. Jika anda pernah menonton siri “South Park” anda sudah pernah mendengar Primus. Lagu tema rancangan itu dimainkan oleh Primus yang menjadikan mereka semakin terkenal kepada generasi baru peminat muzik aneh.
3. SYSTEM OF A DOWN – Band Metal Yang Sukar Diramal

System of A Down (SOAD) adalah band aneh yang sukar diramal lagu mereka, dengan jeritan yang tiba bertukar kepada suara melodi dalam jangka masa singkat dan rap aneh. Muzik mereka adalah letupan sonik penuh kekacauan yang tiba-tiba menjadi fenomena global. Dengan gabungan metal, punk, rock progresif dan elemen muzik tradisional Armenia, mereka membuktikan bahawa muzik heavy boleh menjadi lebih dari sekadar gitar kuat dan jeritan ganas.

Serj Tankian, vokalis utama SOAD mempunyai suara yang boleh berubah dalam sekelip mata daripada pekikan garang kepada suara lembut yang dramatik, kemudian bertukar kepada nyanyian ala Broadway sebelum kembali menjerit seperti orang hilang akal. Lirik-lirik lucu yang diterapkan dalam lagu seperti cerita tentang lada hijau dan pisang. Anda boleh mendengarnya dalam lagu terkenal seperti “Chop Suey!” dan “Vicinity of Obscenity”. Tetapi lirik mereka penuh dengan masej politik, anti-perang dan sindiran terhadap masyarakat moden.

SOAD mengorak langkah ketika era nu metal menguasai dunia pada penghujung 90-an dan awal 2000-an. Identiti dan keanehan tersendiri membuatkan mereka lebih menonjol dan album hit mereka pada tahun 2001 iaitu “Toxicity”. Lagu Chop Suey! Pernah mendapat larangan siaran selepas tragedi 9/11 kerana liriknya yang kontroversi, tetapi itulah yang membuatkan orang semakin ingin mendengarnya. Walaupun SOAD tidak begitu aktif seperti era zaman kegemilangan mereka, namun mereka tetap dianggap sebagai band nu metal ikonik yang membawa muzik pelik seperti muzik sarkas metal.
4. DIE ANTWOORD – Fenomena Duo Hip-Hop Yang Tidak Masuk Akal

Jika anda rasakan Lady Gaga sudah pelik, Die Antwoord jauh lebih pelik dari beliau. Duo dari Afrika Selatan ini, yang terdiri daripada Ninja (Watkin Tudor Jones) dan Yolandi Visser, bukan sekadar penyanyi rap biasa, mereka adalah ikon budaya Zef, gabungan seni eksperimental dan jenaka sosial yang tak semua orang faham. Dengan muzik yang agresif, muzik video yang surreal, dan imej yang terlalu pelik untuk dijelaskan, Die Antwoord berjaya mengejutkan dunia dan menjadi fenomena global walaupun pada asalnya tiada siapa sangka mereka akan berjaya.
Die Antwoord berjaya membawa budaya Zef iaitu gaya hidup kelas pekerja yang kasar, miskin tetapi penuh keyakinan yang tinggi. Dalam erti kata lain, mereka adalah versi Afrika Selatan bagi “white trash” di Amerika, tetapi dengan lebih swag dan berseni. Mereka sengaja memakai pakaian yang kelihatan murah dan kotor, menggunakan slang yang unik dan membawa imej yang menentang norma arus perdana.
Video muzik Die Antwoord penuh dengan warna neon dan imej yang menyeksakan mata. Contohnya video “Enter the Ninja” memperkenalkan dunia Zef dengan imej punk, samurai dan suasana dunia gelap yang pelik. Muzik video “ I Fink U Freeky” penuh dengan imej aliran surreal, model albino, tarian pelik dan elemen seni yang mengingatkan kepada filem David Lynch. Muzik Die Antwoord adalah gabungan pelbagai elemen dari hip–hop, rave, techno dan elemen Afrika Selatan yang disatukan menjadikan kekacauan sonik yang luar biasa.

Mereka terkenal dalam kontroversi melibatkan artis besar seperti Lady Gaga iaitu pada tahun 2012, Lady Gaga menjemput kumpulan ini sebagai opening act. Tetapi mereka menolak tawaran ini dengan kasar iaitu dengan membuat video muzik “Fatty Boom Boom” dengan menyindir Lady Gaga melahirkan serangga dan dimakan singa Afrika. Kontroversi ini menjadikan mereka lebih terkenal dan dijemput festival besar seperti Lollapalooza.

5. GWAR – Dewa Metal dari Angkasa yang Suka Menyembur Darah Palsu

GWAR bukan sekadar band metal, mereka adalah pertunjukkan teater intergalaksi yang penuh dengan jenaka gelap, parodi sosial dan kegilaan tanpa had. Dengan imej seperti pahlawan barbarik dan makhluk asing dan yang turun ke bumi untuk menghancurkan umat manusia, mereka telah menjadi fenomena kultus dalam dunia muzik metal selama lebih tiga dekad. GWAR melabelkan diri mereka sebagai pahlawan dari angkasa lepas yang dibuang ke bumi oleh tuhan purba kerana terlalu ganas. Mereka menggunakan muzik metal sebagai cara untuk menghancurkan umat manusia dengan kegilaan pentas mereka. Realitinya, GWAR terdiri daripada sekumpulan pemuzik dan artis seni yang mencipta persona unik dengan kostum yang diilhamkan daripada sci-fi, mitologi dan filem seram.
Kostum pemuzik GWAR adalah paling epik dalam sejarah muzik. Kostum yang diinspirasikan dari filem Mad Max, Predator dan Godzilla menjadikan beberapa karakter ikonik dalam kumpulan ini iaitu Oderus Urungus (vokalis), Balsac the Jaws of Death (gitaris) dan Beefcake the Mighty (bass). Muzik GWAR menggabungkan trash metal, punk rock dan lirik penuh dengan humor gelap yang tidak bertapis.
GWAR berjaya mencipta komuniti peminat yang menganggap mereka sebagai lebih daripada sekadar band tetapi sebagai fenomena budaya. Pada zaman metal dipenuhi dengan band yang terlalu serius dalam industri, GWAR datang dengan pendekatan metal yang penuh humor, keganasan teatrikal dan parodi ke atas semua perkara. Mereka bukan sahaja tentang muzik, tetapi juga tentang hiburan pentas yang melampau.

Mereka sering dianggap sebagai band yang terlalu ganas, terlalu kasar dan tidak sopan, yang menyebabkan banyak tempat mengharamkan mereka. Tetapi bagi GWAR, ini hanya menjadikan mereka lebih terkenal dan lebih menarik kepada peminat muzik underground. Walaupun pengasas asal kumpulan ini sudah meninggal dunia pada 2014, GWAR tetap meneruskan legasi mereka dengan ahli baru. Mereka terus mencipta naratif baru dalam mitologi GWAR, memastikan band ini kekal segar dan relevan.
Kesimpulan
Band-band ini membuktikan bahawa keanehan bukan penghalang kejayaan. Kadangkala, ia menjadi terikan utama yang membezakan mereka daripada yang lain. Sama ada sindiran futuristik DEVO, kegilaan SOAD, atau horror-metal GWAR, mereka telah membuktikan bahawa muzik pelik juga boleh mendapatkan tempat dalam arus perdana. Jadi, jika anda rasa sesuatu band itu “terlalu pelik” untuk menjadi popular, ingatlah dunia sebenarnya menyukai keanehan!