Christopher Colombus sering dikenang kerana pelayarannya ke Dunia Baru, tetapi salah satu kisah yang kurang diketahui tentangnya ialah bagaimana dia menggunakan ilmu astronomi untuk menipu dan menakutkan penduduk pribumi. Pada tahun 1504, semasa pelayaran terakhirnya, Colombus dan anak kapalnya terkandas di Jamaica. Dengan bekalan makanan yang semakin berkurangan dan hubungan yang semakin tegang dengan suku tempatan, dia menggunakan gerhana bulan yang akan datang sebagai senjata psikologi menakutkan suku asli Amerika.
Colombus Terkandas di Amerika
Selepas beberapa tahun mengharungi pelayaran yang sukar, Colombus dan anak kapalnya tiba di Jamaica dalam keadaan terdesak. Peristiwa ini berlaku pada 29 Mei 1504 semasa pelayaran keempat Christoper Colombus ke Benua Amerika. Colombus dan anak kapalnya terkandas di Jamaica selama beberapa bulan selepas kapal mereka mengalami kerosakan.
Pada awalnya, suku kaum asli iaitu kaum Arawak menyambut mereka dengan baik, memberikan makanan dan perlindungan. Disebabkan kebaikan ini, anak kapal Colombus mengambil kesempatan untuk mendapatkan bekalan makanan yang lebih banyak. Ramai anak kapal Colombus yang tidak menghormati budaya tempatan. Ada laporan mereka mengambil lebih daripada yang diberi, bersikap kasar, dan tidak menghargai bantuan yang diberikan. Ini menyebabkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk pribumi.
Selepas beberapa bulan, penduduk Arawak menyedari bahawa orang Eropah hanya meminta tanpa memberi balasan, dan mereka berhenti membekalkan makanan kepada Colombus dan anak kapalnya. Ini mencetuskan ketegangan kerana tanpa bantuan penduduk tempatan, Colombus dan anak kapalnya akan kelaparan.
Disebabkan bekalan makanan tidak disalurkan kepada mereka, beberapa anak kapal Colombus mula memberontak kerana mereka juga semakin terdesak. Hal ini menyebabkan Colombus gagal mengawal anak kapalnya. Ada yang meninggalkan kumpulan utama dan merompak serta menyerang perkampungan Arawak untuk mendapatkan makanan secara paksa. Ini memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak dan menyebabkan permusuhan yang semakin meningkat.
Colombus Menyelesaikan Masalah Dengan Menggunakan Fenomena Gerhana Bulan
Bekalan makanan semakin berkurang dan orang Arawak tidak lagi mahu berkongsi hasil mereka. Tambahan ketegangan yang memuncak boleh mengancam keselamatan mereka di Jamaica. Colombus perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini dari menjadi semakin buruk.
Sebagai seorang pelaut dan ahli navigasi yang berpengalaman, Colombus mempunyai akses kepada carta astronomi. Dia sentiasa membawa sebuah almanak yang ditulis oleh ahli matematik dan astronomi Jerman terkenal, Johannes Műller (dikenali sebagai Regiomontanus). Buku ini mengandungi ramalan terperinci tentang fenomena langit, termasuk gerhana bulan.
Dengan meneliti alamak tersebut, Colombus mendapati bahawa satu gerhana bulan penuh akan berlaku pada 29 Februari 1504. Dia segera merangka satu rancangan berani iaitu menggunakan gerhana itu untuk menakutkan suku Arawak dan menyakinkan mereka bahawa dia mempunyai kuasa istimewa.
Fenomena Gerhana “Bulan Berdarah” Menakutkan Suku Arawak
Tiga hari sebelum gerhana, Colombus bertemu dengan ketua suku Arawak. Dia memberitahu mereka bahawa “tuhan Colombus marah” kerana mereka tidak lagi memberikan makanan kepada anak kapalnya. Sebagai hukuman, bulan akan menjadi “merah darah” dalam masa tiga hari.
Penduduk Arawak pada mulanya tidak percaya, tetapi pada malam 29 Februari 1504 mereka terkejut melihat bulan menjadi gelap dan bertukar warna merah pekat. Ketakutan mula menyelubungi mereka kerana mereka percaya bahawa ramalan Colombus telah menjadi kenyataan.
Semasa puncak gerhana, ketika ketakutan puak Arawak berada di tahap tertinggi, Colombus berpura-pura berdoa dengan kuat di dalam khemahnya. Sebenarnya, dia hanya mengawasi masa gerhana berlangsung menggunakan jam pasirnya. Tepat sebelum gerhana berakhir, dia keluar dan mengumumkan bahawa tuhan telah mengampunkan puak Arawak. Tetapi dengan syarat mereka mesti terus memberikan makanan kepada anak kapalnya.
Seolah-olah mukjizat telah berlaku, bulan mula kembali ke bentuk asalnya. Suku Arawak yang ketakutan serta-merta percaya bahawa Colombus benar-benar mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib. Mereka segera bersetuju untuk menyediakan makanan kepada Colombus dan anak kapalnya sehingga kapal Sepanyol tiba beberapa bulan kemudian untuk menyelamatkan mereka.
Pentingnya Penguasaan Ilmu Astronomi
Kisah ini adalah contoh menarik tentang bagaimana pengetahuan boleh digunakan sebagai alat kuasa manipulasi. Colombus tidak memiliki kuasa ghaib, tetapi pemahamannya tentang astronomi membolehkannya menipu orang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang fenomena langit.
Walaupun helah ini menyelamatkan Colombus dan anak kapalnya, ia juga menunjukkan corak penipuan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah Eropah terhadap penduduk pribumi, satu corak yang berlanjutan selama berabad-abad.
Kesimpulan
Kisah Colombus menipu puak Aramak di Jamaica bukanlah mitos atau lagenda, tetapi peristiwa sejarah yang direkodkan oleh anak kapal Colombus sendiri, termasuk anaknya Fernando Colombus dalam catatan bertulisnya. Ia juga disebut dalam beberapa buku sejarah dan dokumen berkaitan pelayaran Colombus.
Kisah Colombus ini menunjukkan bahawa bila terdesak, otak menjadi kreatif atau dalam kes ini, jadi manipulatif. Bayangkan, bukan sahaja dia tersadai di Jamaica tanpa bekalan makanan, tetapi dia berjaya “mengancam” bulan untuk menakutkan puak Arawak. Kalau ada anugerah “Penipu Profesional Zaman Penjajahan”, Colombus pasti menang!
Namun, pengajaran utama disini ialah pengetahuan adalah kuasa. Kalau suku Arawak juga memiliki almanak astronomi sendiri, mungkin mereka boleh membalas balik, “Relax bro, ni cuma gerhana bulan. Jangan nak acah-acah dewa marah.” Tetapi malangnya zaman dulu tidak ada Google untuk fact–check penipuan Colombus. Jadi, moral cerita ini, sekiranya mempunyai ilmu, gunalah dengan jujur. Jangan menjadi “scam angkasa” untuk kepentingan sendiri seperti yang dilakukan Colombus kepada puak Arawak.