Jika anda belajar subjek sejarah di zaman sekolah pasti akan pernah mendengar konsep “assabiyah” dalam bab Tamadun Islam. Istilah assabiyah pada asalnya merujuk kepada kecenderungan semula jadi manusia untuk membentuk ikatan solidariti dengan keluarga, suku, bangsa atau sesuatu komuniti. Dalam masyarakat Arab sebelum kedatangan agama Islam, kesetiaan ini sering diekspresikan dalam bentuk sokongan yang boleh membawa kepada kezaliman atau perpecahan. Dalam Islam, konsep ini dikaji semula untuk membezakan satu bentuk kesatuan dan perpaduan yang digalakkan berbanding satu sikap fanatik yang diancam keras.
Penulisan ini akan membincangkan bagaimana nilai patriotisme boleh dibezakan daripada bentuk assabiyah yang negatif, serta situasi di mana patriotisme boleh menjadi sesuatu yang dilarang dalam Islam.
Memahami Konsep Assabiyah Dalam Islam
Perkataan assabiyah berasal daripada kata dasar Arab iaitu asab yang bermaksud ‘mengikat’ atau ‘menyatukan’. Dalam istilah Islam klasik, ia merujuk kepada bentuk kesetiaan kabilah (kumpulan yang duduk dalam satu suku/puak yang sama) yang menjadi masalah apabila digunakan untuk mempertahankan kezaliman atau menimbulkan keangkuhan etnik.
Para ulama Islam menjelaskan bahawa assabiyah bukan sekadar ekspresi solidariti sosial, tetapi menjadi dilarang apabila ia digunakan untuk menyokong sesuatu yang batil atau memecahbelahkan masyarakat.
Patriotisme vs Assabiyah
Patriotisme ialah perasaan cinta dan kesetiaan terhadap negara yang mendorong individu untuk berkerja demi kesejahteraan tanah air mereka. Nilai patriotisme boleh timbul dalam mana-mana individu mana-mana negara atas dasar cinta dan sayang mereka dengan negara yang mereka duduki. Patriotisme boleh diekspresikan dengan pelbagai cara seperti keinginan untuk menyumbang kepada masyarakat, menegakkan keadilan dan memperbaiki keadaan negara mereka.
Assabiyah pula adalah perasaan cinta individu terhadap puak atau kaum mereka sendiri dan menyimpan rasa benci kepada puak yang lain. Perasaan ini lebih kepada perasaan taksub dan fanatik mereka dengan kaum sendiri dan merasakan kaum mereka lebih superior berbanding kaum lain.
Ilmuan Islam iaitu Ibnu Khaldun membezakan assabiyah kepada dua dimensi iaitu assabiyah positif dan assabiyah negatif. Assabiyah positif adalah nilai-nilai permuafakatan dan persefahaman dalam satu kumpulan sosial boleh membudayakan sikap kerjasama dalam komuniti. Assabiyah negatif pula adalah perasaan yang melampau dengan menggalakkan kezaliman dan penindasan yang boleh membawa kepada pepecahan ummah.
Ibnu Khaldun bukanlah yang menyokong nilai assabiyah dalam masyarakat, tetapi nilai kekitaan dalam masyarakat adalah sangat penting dalam membentuk sesuatu negara. Dari sudut pandangan Ibnu Khaldun ini kita boleh rungkaikan bahawa nilai patriotisme juga boleh membawa kepada sifat-sifat negatif jika kita adalah perasaan assabiyah negatif yang melampau.
Bila Patriotisme Menyerupai Assabiyah?
Secara umumnya, patirotisme sangat berbeza dengan nilai assabiyah. Masalah timbul apabila patriotisme berubah menjadi kesetiaan yang membuta tuli, sehingga mengabaikan keadilan atau hak orang lain. Jika cinta kepada negara menjadikan seseorang menyokong kezaliman atau mendiskriminasikan orang lain atas dasar bangsa atau kewarganegaraan, ia menyerupai assabiyah yang negatif.
Nabi Muhammad S.A.W memberi amaran mengenai sikap ini dalam hadis Riwayat Abu Daud:
“Bukan termasuk golongan kami orang yang mengajak kepada assabiyah, bukan termasuk golongan kami orang yang berperang kerana assabiyah, dan bukan termasuk golongan kami orang yang mati kerana assabiyah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Maksud hadis ini adalah jika seseorang yang bersikap fanatik kepada sesuatu tidak kira atas dasar setia kawan atau bangsa, walaupun kawan atau bangsa membuat satu kesalahan adalah ciri-ciri assabiyah orang Arab jahiliah.
Oleh itu, walaupun rasa cinta kepada bukan sesuatu yang salah, ia menjadi bertentangan dengan Islam apabila ia menyebabkan sikap nasionalisme melampau, mengabaikan keadilan, atau menyokong penindasan.
Konsep Ummah Dalam Islam
Pembinaan negara Islam pertama, Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad S.A.W melalui Piagam Madinah adalah satu contoh terbaik penerapan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat Arab Madinah yang terdiri dari pelbagai kaum dan puak. Nabi Muhammad berjaya menyatukan ummah dalam membina negara Islam dengan menghapuskan nilai assabiyah yang sebelum ini sangat kuat dalam masyarakat Arab Quraisy.
Islam mengajarkan bahawa semua Muslim adalah sebahagian daripada satu komuniti global, yang dihubungkan oleh keimanan, bukan semata-mata oleh faktor bangsa atau negara. Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seseorang lelaki dan seseorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (Surah Al-Hujarat: 13)
Ayat ini menjelaskan bahawa perbezaan bangsa dan suku bukan untuk menonjolkan kelebihan sesuatu kaum, tetapi sebagai tanda kebesaran ciptaan Allah dan peluang untuk saling mengenali serta bekerjasama.
Pembinaan Negara Bangsa Dalam Perspektif Islam
Jika dilakukan dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan bersama, pembinaan negara bangsa adalah tidak bertentangan dengan Islam. Islam tidak menentang perasaan cinta kepada tanah air (hubbul watan) selagi ia tidak membawa kepada kezaliman atau pemecahbelahan umat.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah:2)
Dalam konteks ini, membangunkan negara dengan prinsip keadilan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat adalah sesuatu yang baik dan selari dengan ajaran Islam.
Pembinaan negara bangsa yang nampak seperti assabiyah jahiliah apabila mengutamakan bangsa atau kamu tertentu sehingga menindaskan hak kaum lain. Sifat nasionalisme yang ekstrem yang boleh menolak nilai-nilai Islam adalah satu bentuk sifat assabiyah yang kuat dalam rakyat. Jika pembinaan negara bangsa membawa kepada fanatik kebangsaan dan persaudaraan sejagat, maka ia berpotensi menjadi bentuk assabiyah yang dilarang dalam Islam.
Walaupun seseorang itu boleh mencintai negaranya sendiri, ia tidak boleh mengatasi konsep keadilan dan perpaduan umat Islam. Islam menolak fanatik kebangsaan yang memecahbelahkan umat atau menghalalkan ketidakadilan.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, patriotisme tidak sama dengan assabiyah. Cinta kepada negara dan usaha untuk memajukannya adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, malah boleh menjadi satu bentuk ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul dan dalam batasan agama.
Namun, patriotisme menjadi bermasalah apabila ia berubah menjadi nasionalisme ekstrem yang membenarkan ketidakadilan, kezaliman atau diskriminasi terhadap orang lain. Oleh itu, umat Islam diseru untuk mengamalkan patriotisme yang berlandaskan prinsip Islam iaitu cinta kepada negara yang tetap berpegang teguh pada keadilan, perpaduan ummah dan nilai-nilai Islam yang luhur.