Adolf Hitler merupakan antara seorang diktator yang digeruni dalam sejarah. Sebagai seorang pimimpin agung dalam Parti Nazi, beliau dan ahli parti mengubah negara Jerman kepada sebuah negara fasis. Beliau terkenal kerana menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Kedua dan membunuh berjuta-juta orang Yahudi dalam peristiwa Holokus. Walaupun mempunyai perwatakan yang mengerikan, Adolf Hitler mempunyai hobi yang menarik iaitu menonton filem.
Ia sangat pelik jika kita bayangkan Hitler melakukan sesuatu yang normal. Hitler juga seperti manusia biasa yang menikmati masa lapang setiap hari. Beliau biasanya akan meluangkan masa pergi ke panggung wayang untuk menonton filem. Hitler kebiasaannya meluangkan masa malam beliau menonton beberapa filem dan berita di kediaman beliau di pergunungan Bavarian yang dipanggil The Berghof atau di canselori Reich, Berlin.
Hitler juga gemar menjemput beberapa pegawai untuk makan malam bersama beliau sambil menonton filem dan selalunya pegawai-pegawai atasan, jeneral, pegawai kebudayaan dan orang kenamaan. Pada masa ini televisyen belum lagi dicipta dan beliau akan mengadakan makan malam sambil menonton filem di set pawagam peribadi. Pada 3 April 1939, Hitler pernah membawa 1000 orang pekerja Jerman untuk bersama menonton The Florentine Hat sebuah sketsa komedi lakonan pelakon Jerman, Wolfgang Liebneiner. Menjadi kebiasaan kepada Hitler untuk menonton gelung filem semasa makan malam kerana menonton sesuatu akan membuat beliau menjadi lebih tenang. Pada 3
Hitler bukan seorang yang cerewet dalam pemilihan filem. Beliau menonton semua jenis filem bukan sahaja dibuat oleh pengarah Jerman, tetapi juga menonton filem dari Perancis, Amerika dan British dalam bahasa asal. Hitler hanya boleh dan faham bahasa Jerman sahaja. Pemahaman beliau jika menonton filem keluaran luar Jerman adalah bergantung dengan deskripsi plot yang diberikan oleh pegawai kepada beliau.
Adolf Hitler meminati filem King Kong (1933)
Filem King Kong dikeluarkan pada tahun 1933 merupakan sebuah filem pengembaraan menyeramkan yang diarah dan diterbitkan oleh Merian C. Cooper. Filem ini dibintangi oleh Fay Wray, Robert Armstrong dan Bruce Cabot. Adolf Hitler dikatakan peminat besar filem ini dan sentiasa bercerita mengenai filem ini dengan pegawai beliau. Beliau juga kononnya telah membuat gaya seperti seekor gorila yang menumbuk dada di koridor Istana Hradcany selepas berjaya menawan Czechoslovakia.

Namun, tiada bukti yang kukuh mengatakan bahawa Adolf Hitler meminati filem King Kong dan tiada bukti yang dicatat oleh Joseph Goebbels mengenainya. Goebbels merupakan ketua propaganda Hitler yang sangat rapat dengan Hitler. Penulis buku Hitler and Film: The Führer’s Hidden Passion, Bill Niven menyangkal dakwaan King Kong adalah filem kegemaran Hitler. Beliau beranggapan mungkin fakta ini muncul apabila rakyat Jerman zaman tersebut membuat spekulasi bahawa King Kong dan Hitler adalah dua karakter yang terperangkap. King Kong terkurung dalam sangkar dan rakyat Jerman mengandaikan bahawa Hitler mengekspresikan diri beliau terperangkap dalam Perjanjian Versailles.
Adolf Hitler dan Snow White (1937)
Hitler merupakan peminat kepada penerbit animasi terkenal, Walt Disney. Pada tahun 1937, Walt Disney menerbitkan filem animasi pertama yang berdurasi panjang iaitu Snow White. Filem ini terus menjadi antara filem animasi yang terbaik di dalam dunia pada tahun yang sama.
Hitler sangat meminati filem Snow White kerana tema dan gayanya yang ringkas menunjukkan latar belakang tradisional Eropah. Hitler beranggapan bahawa Snow White adalah filem terbaik yang pernah dihasilkan. Filem ini diadaptasi dari buku Classic German Fairy Tales yang dikeluarkan oleh The Brother Grimm pada awal abad ke-19.

Kementerian Propaganda Nazi membawa filem ini pada tahun 1938 secara senyap-senyap kerana filem ini tidak boleh ditayangkan untuk orang awam atas sentimen anti-Amerika dan era bermula Perang Dunia Kedua. Hitler menonton filem ini di pawagam peribadi beliau. Jurugambar peribadi Hitler, Heinrich Hoffman mendakwa beliau pernah menonton Snow White bersama Hitler lebih kurang 20 kali.
Sebenarnya banyak lagi filem yang pernah ditonton oleh Adolf Hitler. Antara filem yang pernah diminati oleh Hitler ialah Bengal Lancer (1935) sebuah filem British. Minat Hitler terhadap Disney tidak dapat disangkalkan lagi apabila beliau banyak menonton siri Mickey Mouse selepas dihadiahkan oleh pegawai propaganda beliau iaitu Joseph Goebbels.
Rujukan
Bill Niven. (2018, Mac 14). Adolf Hitler, Film Fanatic. Retrieved from History Today: https://www.historytoday.com/miscellanies/adolf-hitler-film-fanatic
Jochen Kürten. (2019, Mac 26). Why Hitler watched Hollywood films. Retrieved from DW: https://www.dw.com/en/why-hitler-watched-hollywood-films/a-48062877
Stephen Galloway. (2019, October 18). ‘King Kong’ or ‘Gone With the Wind’? Investigating Hitler’s Bizarre Hollywood Obsessions. Retrieved from The Hollywood Reporter: https://www.hollywoodreporter.com/movies/movie-news/king-kong-investigating-hitlers-bizarre-hollywood-obsessions-1244456/
Steven Ross. (2023, Ogos 18). Was Snow White and the Seven Dwarfs Adolf Hitler’s favourite film? Why did Nazi leader love the Disney classic. Retrieved from National World: https://www.nationalworld.com/culture/film/snow-white-and-the-seven-dwarfs-adolf-hitlers-favourite-film-nazi-disney-classic-4260666