Bagaimana Mafia Itali dalam Membantu Amerika Syarikat Dalam Perang Dunia Kedua

Sebelum Perang Dunia Kedua bermula, pihak berkuasa Amerika Syarikat sudah lama berperang dengan sebuah organisasi jenayah tersusun yang dipanggil sebagai Mafia Itali. Jenayah yang dibuat oleh bangsa yang dianggap pendatang ini adalah seperti perjudian haram, pengedaran dadah, menjual produk palsu, penyulupan dan peras ugut. Ketua-ketua kongsi gelap dan sesiapa terlibat menjadi sasaran kepada pihak berkuasa untuk menangkap dan membendung aktiviti haram mereka.

Pengaruh Mafia Itali di New York, Amerika

Mafia Itali kebanyakkannya adalah pendatang daripada wilayah Sicily, Itali yang berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan pekerjaan. Dianggarkan seramai 4 juta masyarakat Itali datang ke Amerika Syarikat semenjak dari tahun 1880 hingga tahun 1924. Pengaruh mereka di Amerika semakin hari semakin besar sehingga mereka membuat pertubuhan untuk menjaga pendatang Itali yang berkerja di Amerika Syarikat khususnya di New York. Pada tahun 1931, New York mempunyai lima buah keluarga mafia yang berpengaruh. Semua keluarga mafia ini dibawah seliaan seorang ketua mafia yang paling besar iaitu Salvatore Maranzano.

Charles Lusiano atau lebih dikenali sebagai Lucky Lusiano merupakan antara salah seorang ketua daripada lima keluarga mafia yang terbesar ini. Tidak seperti mana-mana ketua mafia yang lain, Lusiano lebih fleksibel untuk berkerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan memberi kepentingan kepada beliau. Beliau dikatakan pernah bekerjasama dengan bapa kepada presiden John F. Kennedy iaitu Joseph Kennedy Sr.

Pada September 1931, Lusiano mengupah pembunuh untuk membunuh Salvatore Manzarano. Kematian Manzarano membolehkan Lusiano mengambil takhta sebagai ketua mafia untuk mengawal lima keluarga kongsi gelap terbesar di New York. Pada tahun 1936, Lusiano disabitkan bersalah atas sebab peras ugut, perjudian haram, pengedaran dadah dan pelacuran. Pihak berkuasa Amerika Syarikat memberi hukuman 30 tahun hingga 50 tahun penjara ke atas beliau.

Lusiano menyerahkan kuasa beliau sebagai ketua mafia kepada pembantu beliau iaitu Frank Castello selepas beliau dipenjara. Walau bagaimanapun, Lusiano masih lagi berkuasa sebagai ketua mafia dan beliau mampu memberi arahan melalui Castello walaupun di dalam penjara.

Amerika Syarikat diancam ejen perisikan dan sabotaj

Pada bulan Februari 1942, dua bulan selepas Amerika Syarikat secara rasmi melibatkan diri dalam Perang Dunia Kedua dengan bergabung bersama tentera bersekutu (Allied), sebuah kapal pengangkutan paling laju dan kedua terbesar pada era tersebut iaitu SS Normandie terbakar dan karam sebelum ia sempat dijadikan sebagai kapal pengangkutan tentera. Amerika Syarikat bimbang dengan keselamatan domestik kerana ramai tentera dikerah ke Eropah. Sistem pertahanan negara kurang diberi perhatian kerana dasar tentera bersekutu yang lebih ofensif.

Kapal berkuasa tinggi SS Normandie (Wikipedia)

Ironinya ,ahli-ahli Mafia Itali kebanyakkannya berasal daripada negara Itali. Negara Itali merupakan negara yang berada dalam kumpulan pakatan paksi (Axis) bersama-sama dengan Jerman dan Jepun menyebabkan pihak berkuasa Amerika Syarikat cuba menyiasat tentang penglibatan masyarakat Itali-Amerika dalam hal ini.Pihak berkuasa Amerika risau sekiranya masyarakat Itali-Amerika mempunyai hubungan dengan Benito Mussolini iaitu seorang diktator Itali yang cuba mengintip negara Uncle Sam ini.

Pihak kerajaan mula membuat penyiasatan dan soal siasat terhadap beberapa orang Itali-Amerika yang tinggal di kawasan tersebut. Penyiasatan mereka tidak menemui apa-apa bukti yang menujukkan masyarakat Itali-Amerika terlibat dengan serangan tersebut. Ramai yang beranggapan insiden di Pelabuhan Manhattan adalah disebabkan kegiatan sabotaj yang dibuat oleh pihak Jerman. Mereka mengatakan bahawa sekiranya masyarakat Itali-Amerika terlibat dengan kejadian sabotaj, tindakan itu mungkin sudah lama berlaku sebelum Perang Dunia Kedua bermula.

Teori mengatakan insiden ini melibatkan pihak pakatan paksi menjadi lebih kuat apabila awal tahun 1942, dikhabarkan kapal selam U-Boat Jerman telah menenggelamkan lebih dari 100 buah kapal di perairan Pantai Timur Amerika Latin, Teluk Mexico dan Perairan Carribean. Amerika Syarikat memikirkan perlunya ada sistem pertahanan di perairan Amerika sebelum ancaman sabotaj menjadi lebih parah.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat New York faham bahawa sebahagian besar kawasan New York dikawal oleh kumpulan kongsi gelap keturunan Itali. Frank Knox, setiausaha tentera laut Amerika memberi maklumat tentang ancaman perisikan dari pihak Itali dan Jerman sekaligus beliau memberi cadangan kepada Presiden Franklin D. Roosevelt untuk meminta bantuan Mafia Itali.

Cadangan ini tidak ditentang dan Roosevelt beranggapan Mafia Itali perlu untuk membantu kerajaan dalam hal ini atas kepentingan mereka sendiri dan beliau yakin Mafia Itali pasti tidak akan semudah itu mahu pihak Jerman dan Itali untuk menawan Amerika Syarikat atas dasar hagemoni Amerika yang cukup besar pada ketika itu.

Amerika Syarikat cuba berunding dengan Mafia Itali

Komander Tentera Laut Amerika Syarikat, Charles Heffenden membuat pertemuan sulit dengan orang atasan Mafia Itali iaitu Meyer Lansky. Heffenden memilih Lansky sebagai orang tengah untuk membantu mempertahankan perairan pelabuhan New York kerana beliau merupakan Mafia Itali yang berketurunan Yahudi dari Poland. Lansky merupakan mafia yang bersikap anti-Nazi kerana insiden Holocaust yang dilakukan oleh Adolf Hitler di Jerman.

Lansky bersetuju untuk membantu dalam membuat pengintipan atau mengawal pelabuhan New York. Tetapi beliau menyatakan kuasa beliau adalah terhad kerana sebahagian besar operasi mafia di New York masih dibawah seliaan Lusiano yang berada di penjara. Kerajaan Amerika bersetuju dan menghantar Lansky untuk beruding dengan Lusiano berkenaan operasi sulit ini.

Lusiano bergerak melalui Operasi Bawah Tanah (Operation Underworld)

Lusiano mula dipindahkan dari penjara Clinton di Dannemora ke Pusat Pemulihan Great Meadow di New York untuk memudahkan proses rundingan. Luciano bersetuju untuk membantu pihak kerajaan dan menyatakan bahawa beliau tidak mahu apa-apa ganjaran dari operasi ini kecuali tempoh penjara beliau dikurangkan. Operasi ini adalah operasi sulit kerajaan bersama-sama dengan Mafia Itali dan Mafia Yahudi yang dipanggil sebagai ‘Operation Underworld’ atau Operasi Bawah Tanah. Operasi ini adalah sangat sulit kerana kerajaan Amerika Syarikat tidak mahu rakyat mengetahui penglibatan Kongsi gelap dengan kerajaan Amerika.

Lusiano memberi arahan kepada orang bawahan beliau terutama Lansky kerana Lansky merupakan samseng yang boleh mempengaruhi Mafia Yahudi di New York. Tugas mafia dalam operasi ini adalah untuk mencari mana-mana suspek yang disyaki dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Mereka tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan fizikal untuk mengelakkan operasi disedari oleh orang awam.

Orang bawahan Lansky mula bergerak dengan mengekori mana-mana suspek dan memberi maklumat kepada unit perisikan tentera laut, polis New York atau FBI. Kerjasama antara mafia dan pihak kerajaan membuahkan hasil apabila FBI berjaya menahan beberapa orang Jerman yang disyaki terlibat dalam ‘Operasi Pastorios’ pada bulan Jun 1942. Bukan itu sahaja, Lansky juga bertanggungjawab untuk menjaga perairan dan pelabuhan New York supaya tidak ada sesiapa yang mencurigakan untuk menggagalkan dan mengganggu tentera laut Amerika Syarikat membina kapal pengangkutan tentera dan kapal perang untuk dihantar ke Eropah.

Lucky Lusiano hanya mengarah orang bawahan untuk membantu tentera Amerika (wikipedia)

Operasi Husky: Penaklukan Wilayah Sicily

Disebabkan kejayaan Operasi Bawah Tanah,pihak kerajaan Amerika Syarikat mula mengorak langkah untuk menawan Sicily. Di Eropah, pihak Bersekutu mula menjadi lebih ofensif. Menawan Sicily adalah satu langkah pertama untuk menghentikan kemaraan tentera Paksi. Sicily dipilih kerana menjadi laluan utama dalam benua Eropah serta menjadi titik mula untuk menawan semula Perancis dalam ‘Operasi D-Day’.

Sekali lagi khidmat Lusiano digunakan untuk menjayakan misi ini. Lusiano sendiri mempunyai semangat yang tinggi untuk membantu tentera bersekutu menawan Sicily atas dasar kebencian beliau terhadap diktator Italy iaitu Benito Mussolini. Mafia Itali sememangnya mempunyai dendam kepada Mussolini atas dasar beliau menumpaskan beberapa sendiket mafia dan mengharamkan kegiatan mafia di wilayah Sicily. Tambahan, kerajaan Amerika Syarikat inginkan Mafia Itali menyamar sebagai ejen pengintip kerana rupa, dialek dan pengetahuan tentang Sicily adalah tinggi.

Lusiano memilih beberapa orang yang beliau percayai untuk ke Sicily bagi menjadi pengintip kawasan di Sicily. Lusiano juga mengarahkan penyeludup-penyeludup dadah dibawah kawalan beliau untuk memberi maklumat tentang pertahanan dan rupa bentuk jalur pantai. Peta pertahanan Sicily berjaya dilukis dengan tepat oleh pemberi maklumat dan menjadi sumbangan besar kepada tentera Bersekutu untuk lebih mudah menawan Sicily.

Operasi Husky berjalan dengan baik dengan bantuan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli Mafia Itali-Amerika dan Mafia Sicily. Leftenan Alfieri berjaya menyelinap masuk ke dalam pangkalan Tentera Laut Itali dengan dibantu oleh ahli mafia yang menjadi perisai kepada beliau. Alfieri berjaya mencuri dokumen dan maklumat penting tentera Itali hasil daripada teknik yang beliau pelajari untuk membuka peti besi dari ahli mafia.

Lusiano selepas Perang Dunia Kedua

Selepas pihak Jerman menyerah kalah pada bulan Mei 1945, peguam Lusiano, Moses Palakoff membuat petisyen dan dihantar kepada Gabenor New York untuk meminta pengurangan hukuman ke atas Lusiano kerana jasa beliau kepada negara. Pada tahun 1946, hukuman beliau diubah dengan cara menghantar Lusiano balik ke Itali dan ditempatkan di Rom. Pada tahun 1947, beliau berpindah ke Cuba dan memulakan kegiatan haram beliau semula di sana. Beliau menjalankan penyeludupan dadah dan dieksport ke Amerika Syarikat menyebabkan kerajaan Amerika perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Kerajaan Amerika Syarikat cuba untuk memaksa kerajaan Cuba untuk menghantar beliau semula ke Itali. Walau bagaimanapun, Lusiano berhijarah ke Napoli, Itali dan tetap dengan kegiatan penyeludupan dadah dan manusia secara haram ke Amerika Syarikat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1962 disebabkan sakit jantung semasa berada di Lapangan Terbang Capodichino, Napoli. Mayat beliau dihantar ke New York dan disemadikan di tanah perkuburan St. John, Queens, New York.

Rujukan

Alex Mitchell. (2022, Disember 23). Revealed: How the Navy made a secret deal with the mob to win WWII. Retrieved from New York Post: https://nypost.com/2022/12/23/how-the-navy-made-a-secret-deal-with-the-mafia-to-win-wwii/

David Seeds. (2023, Januari 30). Project Underworld: The U.S. Navy’s Secret Pact with the Mafia. Retrieved from Warfare History Newtwork: https://warfarehistorynetwork.com/article/project-underworld-the-u-s-navys-secret-pact-with-the-mafia/

Heater Fishel. (2016, Mac 9). The American Jewish Mobster Who Hunted Down Nazi Sympathizers And Secured New York Harbor. Retrieved from War History Online: https://www.warhistoryonline.com/world-war-ii/meyer-lansky-the-american-mobster-who-fought-the-nazis.html

Keith Huxen. (2017, Julai 12). Operation Husky: The Allied Invasion of Sicily. Retrieved from The National WWII Museum: New Oreans: https://www.nationalww2museum.org/war/articles/operation-husky-allied-invasion-sicily

Related Posts