Anda tengah bersantai-santai di luar rumah untuk menenangkan hati yang lara dan kesedihan. Dalam melayan kesedihan, terdapat satu mahkluk kerdil menambah kedukaan anda dengan terbang bingit di telinga lalu menggigit manja di kulit anda meninggalkan satu tanda merah. Bukan seekor nyamuk, tetapi satu pasukan nyamuk yang menyakitkan hati.
Kadang-kadang, anda mungkin terfikir kenapa nyamuk suka menggigit anda? Satu mitos yang biasa didengar sejak turun temurun adalah disebabkan darah anda begitu manis sehingga menaikkan nafsu nyamuk untuk mendekati anda. Memang benar nyamuk sangat memerlukan sesuatu yang manis untuk mendapatkan tenaga mereka dari debunga-debunga di persekitaran. Tetapi ini tidak bermakna darah anda manis untuk nyamuk merapati diri anda. Jika begitu, orang yang mempunyai penyakit kencing manis mungkin sudah terkial-kial dihurung oleh segerombolan pasukan nyamuk.
Adakah nyamuk tertarik kepada sesetengah manusia?
Jawapannya adalah ya!
Mungkin anda akan perasan sekiranya anda bersama-sama rakan anda melepak di luar rumah, anda mungkin digigit oleh nyamuk manakala rakan anda tidak merasai perkara tersebut. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor yang mungkin ada pada diri anda dan tidak pada rakan anda.
Ada tiga punca utama kenapa nyamuk boleh mengesan manusia. Punca utama adalah pembebasan gas karbon dioksida dari badan, kedua adalah suhu badan dan ketiga adalah bau badan manusia. Beberapa penyelidikan telah menunjukkan bahawa nyamuk boleh mengesan gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh manusia. Daya pengesanan nyamuk boleh mencapai 50 kaki hingga ke 100 kaki.
Badan manusia yang mengeluarkan gas karbon dioksida berlebihan lebih mudah untuk menarik perhatian nyamuk. Pembebasan gas karbon dioksida dari badan akan menyebabkan suhu badan manusia meningkat yang menjadi punca utama kenapa nyamuk dapat mengesan manusia dari jauh. Bagaimana manusia mengeluarkan gas karbon dioksida yang berbeza? Hal ini disebabkan beberapa faktor pada tubuh manusia yang berbeza-beza.
Faktor-faktor yang menyebabkan nyamuk tertarik dengan anda
1. Saiz badan
Semakin besar badan manusia, semakin banyak gas karbon dioksida yang dilepaskan dari badan mereka. Seterusnya akan menyebabkan lebih senang nyamuk mengesan kehadiran anda.
2. Suhu badan
Pembebasan gas karbon dioksida yang banyak membawa kepada peningkatan suhu badan manusia yang menyebabkan mata majmuk nyamuk akan melihat badan anda seperti infra merah yang menggiurkan mereka. Suhu badan meningkatkan tidak semestinya dari pengeluaran gas karbon dioksida dari badan, tetapi juga mungkin disebabkan cuaca panas atau suhu persekitaran yang kering.
3. Mudah berpeluh
Kadar badan berpeluh berkait rapat dengan peningkatan suhu badan. Hal ini mungkin disebabkan anda baru habis bersukan dan hati-hati kerana ada makhluk kerdil yang menjadikan anda sasaran. Kajian telah menunjukkan bahawa peluh manusia mengandungi asid laktik dan ammonia yang juga bahan kimia menjadi kegemaran nyamuk. Anda mungkin merasa peluh anda tidak begitu berbau, tetapi tidak bagi nyamuk kerana nyamuk dapat mengesan bau badan manusia yang ‘odorless’.
4. Mengandung
Banyak kajian telah menunjukkan wanita mengandung akan lebih mengeluarkan gas karbon dioksida berbading wanita biasa. Perubahan fizikal badan wanita mengandung akan mengeluarkan lebih 20% gas karbon dioksida dan mereka akan lebih cepat berpeluh dan penat. Oleh itu, wanita mengandung perlu lebih berhati-hati menjaga diri dari digigit nyamuk.
5. Bakteria yang ada pada tubuh badan
Sesetengah manusia menyimpan bakteria yang berbeza-beza didalam kulit mereka. Hal ini bergantung dengan gaya hidup mereka dan cara mereka menjaga kebersihan. Bakteria-bakteria ini akan lebih aktif sekiranya manusia dalam keadaan panas dan berpeluh. Nyamuk akan lebih mudah mendekati manusia seperti ini. Namun, terdapat percanggahan kajian tentang perkara ini. Ada kajian mengatakan manusia yang mempunyai sesetengah bakteria kurang mendapat perhatian nyamuk, manakala ada kajian yang mengatakan disebaliknya.
6. Pemakanan
Sesetengah pengkaji mengatakan keberadaan nyamuk disekeliling manusia adalah berdasarkan diet pamakanan mereka. Pemakanan yang menyebabkan suhu badan manusia meningkat dan menyebabkan manusia berpeluh akan lebih mudah menarik perhatian nyamuk. Terdapat mitos mengatakan bahawa sesiapa yang makan makanan yang mengandungi vitamin B yang tinggi dan bawang putih akan mengelakkan nyamuk menggigit anda. Walaubagaimanapun, belum ada kajian yang mengesahkan hal ini.
Kesimpulan
Digigit nyamuk adalah perkara paling tidak disukai oleh semua manusia. Walaupun kesakitannya tidak begitu besar, tetapi boleh mengganggu kehidupan seharian kita seperti tidur. Apa-apa pun anda jangan marah kerana ia boleh meningkatkan pengeluaran gas karbon dioksida dan meningkatkan suhu badan anda. Cara paling berkesan untuk mengelak digigit nyamuk adalah dengan melumurkan krim penghalau nyamuk atau paling baik memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. InsyaAllah hidup anda akan lebih aman.