Pemanasan global bukan lagi isu yang baru, ia sudah mula memberi kesan kepada cara kita hidup, bekerja dan bergerak. Ramai yang mengaitkan perubahan iklim dengan suhu yang semakin meningkat dan cuaca ekstrem, tetapi kesannya terhadap industri automotif dan sistem pengangkutan sering diabaikan. Dari gelombang haba yang merosakkan jalan raya hingga peraturan pelepasan karbon yang semakin ketat, mari kita lihat bagaimana pemanasan global mengubah dunia automotif dan pengangkutan.
Peningkatan Suhu Menjadikan Kereta Kurang Cekap
Haba melampau bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan kepada pemandu, tetapi juga menjejaskan kecekapan kenderaan. Suhu tinggi memberi kesan kepada enjin, bateri dan penggunaan bahan api dalam pelbagai cara.
Kajian oleh U.S Department of Energy pada tahun 2020 mendapati bahawa suhu tinggi mengurangkan kecekapan bahan api sebanyak 1.3% hingga 2% bagi setiap 5°C suhu yang naik, terutama penghawa dingin digunakan secara berterusan. Sementara itu kajian dari University of Michigan mununjukkan bahawa bateri EV kehilangan kecekapan sehingga 20% dalam suhu melebihi 35°C, yang boleh menjejaskan jarak perjalanan dan prestasi kenderaan elektrik secara keseluruhan.
Enjin bekerja lebih keras dalam cuaca panas, menyebabkan peningkatan penggunaan petrol atau diesel. Kenderaan elektrik (EV) menggunakan beteri lithium-ion yang lebih berkesan dalam suhu sederhana. Suhu yang terlalu tinggi boleh mempercepatkan degradasi bateri dan menjejaskan kecekapan pengecasan. Bagi menangani isu ini, pengeluar kereta kini sedang membangunkan sistem penyejukan yang lebih canggih untuk enjin dan bateri EV. Walau bagaimanapun, teknologi ini meningkatkan kos pembuatan dan pengeluaran.
Infrastruktur Jalan Raya Semakin Terjejas Oleh Cuaca Ekstrem
Bukan sahaja kenderaan yang terkesan, tetapi jalan raya dan lebuh raya juga mengalami kerosakan akibat pemanasan global. Menurut laporan American Society of Civil Engineers (ASCE) pada tahun 2021, suhu yang tinggi mempercepatkan proses “rutting” iaitu lekukan pada permukaan jalan raya, dan meningkatkan risiko retakan. Di UK, kajian oleh Transport Research Laboratory (TRL) menunjukkan bahawa jalan raya yang dibina sebelum tahun 1990 tidak tahan terhadap suhu melebihi 30°C yang kini semakin kerap berlaku akibat gelombang haba.
Gelombang haba yang berpanjangan menyebabkan asfalt menjadi lembut dan retak, meningkatkan jumlah lubang jalan dan kos pembaikan. Peningkatan paras laut dan hujan lebat yang lebih kerap menyebabkan jalan lebih mudah ditenggelami air, menjadikan pemanduan lebih berbahaya. Banyak bandar kini sedang meneroka penggunaan asfalt tahan haba dan sistem saliran yang lebih baik untuk mengurangkan kesan perubahan iklim. Namun, penyesuaian ini memerlukan kos yang tinggi.
Pemanasan Global Mendorong Peralihan Kepada Kenderaan Elektrik
Pengangkutan menyumbang hampir satu perempat daripada pelepasan karbon secara global, menyebabkan banyak kerajaan mengambil langkah tegas untuk menggalakkan alternatif yang lebih bersih. Satu kajian oleh International Energy Agency (IEA) pada tahun 2023 melaporkan bahawa jualan EV global meningkat sebanyak 55% antara tahun 2021 dan 2022. Ini didorong oleh dasar-dasar kerajaan dan kesedaran pengguna terhadap isu perubahan iklim.
Di Norway contohnya, lebih 80% daripada kenderaan baharu yang dijual pada tahun 2022 adalah EV hasil daripada insentif cukai dan pelaburan dalam infrastruktur pengecasan. Kajian ini menunjukkan pendekatan ini berkesan dalam mengurangkan pelepasan karbon dari sektor pengangkutan. Syarikat seperti Tesla, Rivian serta jenama tradisional seperti Ford, Volkswagen dan Jaguar sedang melabur besar dalam teknologi EV.
Selain EV, beberapa syarikat sedang membangunkan bahan api alternatif yang boleh digunakan dalam enjin konvensional dengan pelepasan karbon yang lebih rendah. Walaupun EV dilihat sebagai penyelesaian masa depan, masih terdapat cabaran seperti infrastruktur pengecasan yang terhad, pelepasan karbon semasa pembuatan bateri dan kekurangan sumber lithium serta kobalt.
Impak Terhadap Industri Penerbangan dan Perkapalan
Pemanasan global tidak hanya menjejaskan kenderaan darat tetapi juga pengangkutan udara dan laut. Kajian dari University of Reading pada tahun 2017 melaporkan bahawa perubahan iklim dijangka menyebabkan peningkatan masalah turbulensi penerbangan trans-Atlantik sebanyak 2 hingga 3 kali ganda menjelang akhir abad ini. Ini kerana pemanasan global mengubah corak aliran udara di atmosfera.
Suhu yang lebih tinggi menyebabkan udara menjadi kurang padat, mengurangkan daya angkat kapal terbang dan memaksa syarikat penerbangan mengurangkan kapasiti penumpang atau menangguhkan penerbangan semasa cuaca panas melampau. Peningkatan kekerapan turbulensi juga menjadikan penerbangan lebih bergelora dan menjadikan penumpang tidak selesa. Bagi mengurangkan kesan ini, syarikat penerbangan sedang meneroka biofuel kapal terbang hidrogen, dan reka bentuk aerodinamik yang lebih cekap untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam industri perkapalan, kajian oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) mendapati bahawa pencairan ais Artik membuka laluan pelayaran baru, tetapi juga meningkatkan risiko kepada ekosistem laut dan kebergantungan terhadap laluan yang sensitif terhadap perubahan iklim. Hal ini menyebabkan laluan perdagangan baru terpaksa dibuka, tetapi juga turut mengganggu ekosistem marin dan pola perdagangan global.
Kesimpulan
Pemanasan global bukan sekadar isu alam sekitar, ia sedang mengubah cara kita bergerak. Dari jalan raya yang semakin panas dan enjin yang kurang cekap hingga peralihan ke arah kenderaan elektrik, kesannya terhadap pengangkutan adalah nyata. Semua kajian telah menunjukkan bahawa dunia pengangkutan sedang berada dalam fasa transformasi yang besar. Kita bukan sahaja perlu menyesuaikan reka bentuk kenderaan, tetapi juga membina semula infrastruktur dan dasar awam agar lebih tahan terhadap perubahan iklim.
Memandangkan perubahan iklim terus berlaku, penyesuaian adalah penting untuk memastikan pengangkutan yang lebih lestari dan berdaya tahan. Kini cabaran utama bukan lagi sama ada kita baru bertindak, tetapi seberapa cepat kita boleh bertindak sebelum perubahan menjadi tidak terkawal.