Sejak zaman berzaman, kucing telah menjadi teman setia manusia, menjadi pemburu tikus yang lincah, penghuni rumah yang manja, dan sahabat yang menghiburkan dengan kecomelan mereka. Dari istana raja hingga ke rumah petani, kucing dihargai kerana keupayaan mereka mengawal perosak dan menemani manusia dengan keunikan sikap mereka. Namun, ada satu ketika dalam sejarah di mana nasib kucing berubah secara tragis.
Ketika wabak hitam melanda Eropah pada abad ke-14, ketakutan dan kepercayaan karut menguasai manusia. Kucing, yang selama ini dianggap sebagai pelindung rumah, tiba-tiba dituduh sebagai pembawa malapetaka. Ribuan diburu dan dibunuh tanpa belas kasihan. Ironinya, tindakan ini mungkin telah mempercepatkan penyebaran wabak yang sedang mereka cuba hentikan. Bagaimana kucing yang sepatutnya menjadi penyelamat akhirnya menjadi mangsa kebodohan manusia? Dan adakah tanpa mereka, dunia semakin terdedah kepada kemusnahan wabak ini?
Black Plague atau wabak hitam
Wabah hitam adalah pandemik wabak bubonik yang melanda Eropah antara tahun 1346 hingga 1353 menyebabkan kematian antara 25 hingga 50 juta orang, atau sekitar 30% hingga 60% daripada populasi Eropah pada ketika itu. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Yersinia Pestis, yang dipercayai berasal dari Asia Tengah. Ia merebak ke Eropah melalui laluan perdagangan, dengan tikus yang membawa kutu dijangkiti sebagai vektor utama.
Wabak ini pertama kali dilaporkan di Eropah semasa pengepungan pelabuhan Genoa di Kaffa oleh tentera Golden Horde pada tahun 1347. Dari situ ia merebak ke seluruh Mediterranean dan seterusnya ke Eropah melalui Constantinople, Sicily dan Semenanjung Itali.
Gejala yang dialami oleh pesakit yang dijangkiti oleh wabak hitam adalah demam panas dan pembengkakan kelenjar yang menyakitkan, dikenali sebagai ‘bubo’. Kematian biasanya berlaku dalam beberapa hari selepas gejala timbul. Kadar kematian yang tinggi menyebabkan kekurangan tenaga kerja, kemerosotan ekonomi dan perubahan sosial yang ketara.
Siapakah Dipersalahkan Dalam Penyebaran Wabak Ini?
Semasa wabak hitam pada abad ke-14, masyarakat Eropah yang tidak memahami punca sebenar penyakit ini mula mencari kambing hitam untuk dipersalahkan. Kepercayaan karut dan ketakutan menyebabkan pelbagai kumpulan menjadi mangsa diskriminasi dan keganasan.
Kelompok yang sentiasa menjadi mangsa fitnah adalah masyarakat Yahudi Eropah. Orang Yahudi sering kali dituduh menyebabkan wabak dengan dikatakan telah meracun telaga dan sistem air orang Eropah. Tuduhan ini membawa kepada serangan ganas ke atas komuniti Yahudi seluruh Eropah. Contohnya dalam pembunuhan Strasbourgh pada Februari 1349, kira-kira 2,000 orang Yahudi telah dibunuh. Menjelang tahun 1531, sebanyak 60 komuniti besar dan 150 komuniti kecil Yahudi telah dimusnahkan akibat tuduhan ini.
Antara kelompok lain yang menjadi mangsa fitnah semasa wabak hitam di Eropah adalah pesakit kusta dan individu yang mempunyai penyakit kulit. Mereka yang menghidap penyakit kusta atau psoriasis sering kali dibunuh kerana dipercayai menyebarkan wabak. Mereka yang datang dari kawasan luar atau sering berpindah-randah dianggap membawa penyakit ke bandar dan kampung yang mereka lawati. Antara pertuduhan yang paling pelik dan tidak masuk akal adalah menuduh kucing sebagai pembawa wabak hitam.

Kenapakah Kucing Boleh Dituduh Sebagai Pembawa Penyakit Hitam?
Perkaitan antara kucing dengan kejahatan dan ilmu sihir dalam masyarakat pertengahan agama dan budaya yang wujud sebelum Wabak Hitam. Pada abad ke-12, kucing mula digambarkan secara negatif, sering dikaitkan dengan syaitan. Sebagai contoh, penulis berbangsa Inggeris iaitu Walter Map pernah menggambarkan ritual satanik yang melibatkan kucing hitam. Persepsi buruk ini mula menular dan sebati dalam masyarakat Eropah dari masa ke masa.
Kumpulan ajaran sesat seperti Cathar dan Waldensia turut dituduh oleh Gereja Katolik sebagai penyembah kucing, sekaligus mengukuhkan reputasi haiwan ini. Pandangan negatif ini semakin kukuh apabila pada tahun 1233, Pope Gregory IX mengeluarkan dekri kepausan Vox in Rama yang mendakwa adanya ritual satanik yang melibatkan kucing hitam. Walaupun dekri ini sebenarnya bertujuan untuk menangani ajaran sesat di Jerman, ia secara tidak langsung menyebarkan kepercayaan bahawa kucing, terutamanya yang berwarna hitam, adalah alat syaitan.

Apabila Wabak Hitam melanda Eropah pada tahun 1347, tiada siapa memahami bagaimana penyakit ini tersebar. Ketakutan dan kepercayaan karut semakin memuncak. Dalam usaha mencari punca kepada penyakit yang merebak dengan pantas ini, masyarakat mula menunding jari ke arah kucing. Pandangan buruk yang telah lama wujud terhadap kucing menjadikan mereka sasaran mudah. Akibatnya, pembunuhan besar-besar terhadap kucing berlaku, dengan kepercayaan bahawa tindakan ini dapat menghentikan penyebaran wabak.
Ironinya, tindakan ini mungkin telah memburukkan keadaan. Kucing memainkan peranan penting dalam mengawal populasi tikus, dan dengan berkurangnya jumlah kucing, bilangan tikus yang membawa kutu berjangkit meningkat secara mendadak. Oleh itu, kepercayaan karut yang menyalahkan kucing bukan sahaja berpunca daripada prasangka agama dan budaya yang telah lama wujud tetapi secara tidak sengaja menyumbang kepada penyebaran wabak yang cuba dielakkan oleh manusia.
Apakah yang Berlaku Kepada Kucing-Kucing?
Banyak catatan popular menggambarkan betapa teruknya nasib kucing pada masa itu akibat tuduhan karut tersebut. Di merata-rata tempat, kucing diseksa dan dibunuh dengan kejam, dipuluk sehingga mati, dibakar hidup-hidup, malahan ada festival di mana kucing dicampak dari menara gereja semata-mata dianggap agen sihir atau pembawa sial. Akibatnya “pembasmian” terancang ini, menjelang abad ke-14 populasi kucing di Eropah merosot dengan mendadak. Malah, sumber sejarah mencatatkan ribuan kucing (khususnya kucing hitam) terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai yang tidak berperikemanusiaan akibat paranoia terhadap ilmu hitam.
Ironinya, tindakan membunuh kucing secara besar-besaran ini sebenarnya memburukkan lagi keadaan ketika Wabak Hitam melanda. Kucing merupakan pemangsa utama yang mengawal jumlah tikus, tetapi apabila kucing telah banyak dibunuh (sebahagiannya mati akibat wabak itu sendiri), populasi tikus pembawa kutu wabak meningkat tanpa kawalan. Tikus-tikus yang berlipat ganda ini membawa bakteria ke merata-rata, lantas mempercepatkan dan memperluaskan penyebaran wabak maut tersebut. Dengan ketiadaan kucing, lebih banyak tikus berjangkit berkeliaran yang menjadi faktor memungkinkan Black Death meragut jutaan nyawa dalam masa singkat.
Apakah Punca Sebenar Wabak Ini Menular Cepat?
Kebersihan. Ya, kebersihan yang sangat teruk dalam masyarakat Eropah zaman pertengahan adalah salah satu faktor utama yang mempercepatkan penyebaran Wabak Hitam. Walau bagaimanapun, punca utama wabak ini ialah bakteria Yernesia Pestis yang tersebar melalui kutu yang hidup di atas tikus.
Antara salah satu faktor pemangkin yang memburukkan keadaan adalah keadaan bandar-bandar di Eropah yang sangat jijik dan kotor. Bandar-bandar zaman pertengahan sangat kotor. Sampah dan sisa makanan dibuang ke jalanan, menarik lebih banyak tikus yang menjadi perumah kepada kutu pembawa wabak. Tandas di kebanyakkan rumah hanyalah lubang di tanah, dan najis manusia sering dibuang ke jalan atau sungai tanpa rawatan.
Selain itu, orang Eropah adalah masyarakat yang malas mandi. Tidak seperti masyarakat di Asia Tenggara, mandi paling kurang dua kali sehari. Tetapi tidak bagi masyarakat Eropah pada ketika itu. Ramai orang Eropah percaya bahawa mandi boleh melemahkan tubuh dan menyebabkan penyakit. Oleh itu, mereka jarang mandi dan memakai pakaian yang sama selama berminggu-minggu yang mampu meningkatkan penyebaran kutu dan bakteria.
Kesimpulan
Kisah tragis kucing semasa Wabak Hitam adalah contoh jelas bagaimana ketakutan dan kepercayaan karut boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini. Jika masyarakat pada masa itu memahami punca sebenar wabak ini, mereka mungkin akan melihat kucing sebagai sekutu, bukan musuh.
Lama kelamaan, masyarakat Eropah mula menyedari manfaat memelihara kucing. Pada abad-abad berikutnya, kucing semakin dihargai kerana keupayaan mereka mengawal populasi tikus. Pandangan terhadap kucing mula berubah daripada dianggap sebagai makhluk yang dikaitkan dengan ilmu hitam kepada haiwan peliharaan yang disayangi dan pelindung bekalan makanan.
Jadi, adakah kucing wira atau penjahat semasa zaman Black Plague? Hakikatnya, mereka hanyalah mangsa yang tidak bersalah dan mungkin boleh menjadi wira yang tidak diduga jika mereka diberi peluang.