Fenomena Muzik Lo-Fi: Muzik DIY Generasi Z dari Penjanaan Teknologi AI

Peperikaan semester hampir tiba, anda di meja mula membelek buku sambil membuka aplikasi youtube untuk mendengar muzik. Anda memasang satu playlist yang mempunyai ‘view’ yang ramai yang dipanggil Lofi Girl. Satu playlist yang pernah ditutup oleh syarikat rakaman Malaysia pada tahun 2022 atas sebab pelanggaran hak cipta. Lofi Girl dikatakan playlist terbaik kepada pelajar untuk belajar lebih tenang dan fokus.

Muzik Lo-Fi mungkin tidak pernah didengari oleh sesetengah masyarakat yang lahir pada tahun 1970-an dan 1980-an. Apatah lagi generasi yang sudah melangkau umur 50-an ke atas. Muzik Lo-Fi mempunyai peminat yang tersendiri dalam kalangan belia yang kebanyakkan lahir pertengahan 1990-an dan tahun 2000-an. Muzik ini dikatakan terapi yang baik kepada gen z untuk lebih fokus dalam belajar.

Definisi Lo-Fi

Istilah Lo-Fi datang daripada perkataan low fidelity yang berlawanan dengan Hi-Fi atau high fidelity. Fidelity sama maksud dengan kualiti muzik itu sendiri. Lo-Fi secara konsepnya boleh didefinisikan sebagai satu bentuk muzik yang secara sengaja diproduksi untuk nampak tidak sempurna dan tidak berkualiti. Ia berlawanan dengan muzik Hi-Fi yang lebih mainstream untuk diputar di corong -corong radio. Muzik lo-fi menggunakan produksi yang murah berbanding muzik yang dibangunkan secara profesional dan dengan sengaja menggunakan alatan produksi yang kurang berkualiti, not muzik yang lari, bunyi pelik dan vocal yang kurang cekap.

Pada tahun 1980-an dan 1990-an, lo-fi dipandang sebagai satu gaya artistik bagi sesetengah artis. Mereka akan menggunakan kualiti muzik yang rendah kualiti seperti artis aliran bawah tanah (underground). Muzik seperti punk, hip hop gengster, indie, grunge, metal dan alternatif akan mempunyai muzik lo-fi dan dikatakan lebih nampak artistik (padahal tiada duit untuk sewa set rakaman).

Lo-Fi sebagai muzik DIY

Kita boleh klasifikasikan pemuzik yang memproduksi muzik lo-fi sebagai muzik DIY (do it yourself) atau indie.  Dari sudut retrospektif, album Smiley Smile keluaran artis Beach Boys pada tahun 1967 dikatakan mengasaskan bunyi Lo-Fi yang menjadi ikutan dan memberi pengaruh kepada pemuzik lo-fi kontemporari. Mereka bermain dengan muzik ringkas dan tidak memerlukan kord muzik yang pelbagai dalam permainan mereka. Dalam era yang sama, Stevie Moore dikatakan sebagai godfather dalam merakam muzik dari rumah. Beliau telah mengeluarkan album bertajuk Phonography pada tahun 1976 atas titik sendiri.

Stevie Moore dikatakan pencetus awal muzik Lo-fi

Lo-Fi dan muzik Indie

Tahun 90-an memperlihatkan kumpulan pemuzik yang ingin bebas dari keterbatasan dalam membuat muzik. Maksudnya disini mereka tidak mahu terikat dengan gaya muzik pilihan radio, lirik bersahaja, tidak memerlukan vokal yang kuat dan permainan muzik yang ringkas. Kumpulan pemuzik ini dipanggil sebagai pemuzik independent atau indie. Mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk membuat produksi rakaman yang berkualiti tinggi tetapi menggunakan pelbagai sumber yang ada untuk nampak lebih menarik.

kumpulan nirvana sebelum menjadi sebuah kumpulan mainstream, mereka menggunakan set rakaman yang kurang berkualiti dan memainkan kord gitar yang pelik dan tidak mengikut susunan skala not muzik yang biasa pemuzik lakukan. Dengan menggunakan satu effect gitar atau terus langsung ke amplifier menjadi nampak menarik untuk didengari. Lama kelamaan, muzik mereka diterima ramai namun muzik mereka tidak dikategorikan sebagai lo-fi tetapi dipanggil sebagai grunge. Kejayaan Nirvana ini mempengaruhi anak muda pada masa tersebut bahawa membuat muzik tidak perlukan kepakaran yang tinggi dan profesional.

Era awal Nirvana yang tidak begitu mementingkan kualiti bunyi

Ramai artis indie yang bermain dengan gaya tersendiri dan tidak memerlukan kord muzik yang nampak profesional pada tahun 1990-an. Artis indie popular seperti Oasis, Blur, Pixies, Sonic Youth, Weezer dan The Smashing Pumpkins merupakan artis yang bermula bermain di garaj rumah sebelum muzik independent menjadi terkenal dan masuk ke dalam aliran perdana. Di Malaysia, band indie Malaysia paling awal seperti O.A.G, A.C.A.B, Nice Stupid Playground, Prana dan Butterfinger adalah kumpulan pemuzik DIY sebelum istilah indie digunakan lebih meluas pada akhir tahun 2000-an.

Lo-Fi menjadi satu subgenre muzik

Pada asasnya lo-fi tidak dipanggil sebagai sebuah genre, namun lebih kepada kualiti muzik yang estetik. Pada awal tahun 2010-an, teknologi semakin canggih begitu juga dengan kelengkapan dalam membuat muzik. Jika dahulu artis memerlukan set drum yang berharga beribu-ribu ringgit untuk menghasilkan bunyi drum yang autentik, tetapi pada masa kini teknologi membuktikan anda boleh menghasilkan bunyi drum dengan menggunakan aplikasi dalam komputer sahaja.

Peningkatan tekonologi ini memudahkan lebih ramai penggiat muzik tidak memerlukan kos yang banyak seperti set drum, keyboard dan ahli yang ramai. Mereka hanya membeli beberapa perkakas ringkas seperti bass, keyboard, gitar elektrik, mikrofon dan sound interface sahaja sudah memadai untuk menerbitkan lagu dari dalam bilik tidur sendiri.

Istilah ‘bedroom pop’ mula muncul pada era ini dan artis-artis ini kebiasaanya tidak bermain muzik indie seperti kebiasaaan, tetapi lebih kepada bentuk muzik yang lebih melo dan mendayu. Jika anda kenal dengan Billie Eilish anda pasti tahu sejarah permulaan karya beliau bermula dengan rakaman dengan abangnya hanya dalam bilik. Dalam masa yang sama artis seperti Cavetown, Rex Orange County, Girl in red dan Clairo juga memulakan kerjaya mereka dari rumah.

Artis-artis ini menggunakan pelbagai sumber untuk mempromosi lagu mereka dan tidak memerlukan syarikat rakaman yang besar untuk membuat promosi. Mereka akan menggunakan media-media sosial seperti instagram dan twitter sebagai medium promosi. Lagu-lagu mereka ini akan diterbitkan kepada syarikat penstriman lagu terkenal iaitu spotifiy.

Pada akhir tahun 2010-an, bermula ledakan artis yang membawa aliran muzik bedroom pop. Muzik mereka menjadi kegilaan remaja pada masa itu. Perubahan trend dan fasyen juga selari dengan perubahan muzik. Dari trend slim fit berubah kepada gaya baju loose, rambut slickback kepada gaya mullet dan French Crop. Artis-artis lo-fi mula muncul seperti Joji, Boy Pablo, 88rising, Rei Brown, Keshi, dan ramai lagi mula mendominasi carian di Youtube oleh para belia dengan muzik video yang tidak memerlukan kamera berkuasa tinggi, cukup hanya menggunakan telefon pintar dan filter retro.

Muzik lo-fi menggunakan teknologi AI

Pada era digital masa kini, penggiat kreatif mula mencari kaedah baru dan inovatif dengan menggunakan teknologi untuk menambah pendapatan. Salah satu caranya adalah dengan membuat muzik yang dijana oleh teknologi Artificial Intelligence (AI). Caranya ada lebih mudah berbanding dengan mana-mana penggiat muzik yang konvensional iaitu dengan menggunakan alat muzik biasa.

Menghasilkan muzik dari penjanaan AI hanya perlu menggunakan aplikasi yang ada di internet atau mana-mana platform yang dijual di App Store atau Google Play Store. Anda hanya perlu memilih beberapa kategori yang disediakan dalam aplikasi tersebut dan terhasil muzik yang ditimbulkan oleh AI. Beberapa aplikasi muzik AI yang anda boleh cuba adalah seperti Mubert, Soundful, Aiva, Beatbot dan Beatoven. Satu kekurangan aplikasi penjanaan muzik AI adalah tidak boleh menghasilkan suara penyanyi atau vokal suara. Oleh sebab ini, muzik lo-fi yang disiarkan dalam mana-mana playlist lo-fi kebanyakkannya dalam bentuk instrumental iaitu muzik tanpa suara nyanyian.

Muzik janaan AI ini dianggap sebagai satu bentuk langkah mudah dan bukan muzik sebenar oleh mana-mana penggiat muzik. Hal ini kerana muzik yang dihasilkan adalah dari teknologi, bukan atas dasar bakat atau usaha. Walaubagaimanapun, pada masa kini, individu yang menggunakan aplikasi penjanaan muzik AI akan menghasilkan sebanyak mungkin lagu-lagu dan memuat naik ke dalam akaun Youtube untuk menjana pendapatan.

Akaun Youtube mula dibentuk dengan memuatkan lagu-lagu dari artis penjanaan AI dalam satu playlist. Playlist ini diberi tajuk lo-fi music. Antara akaun yang popular adalah seperti Chillhop Music, Chilled Cow, College Music, The Jazzhop Cafe, In Your Chill dan Fantastic Music. Mereka merupakan entiti yang memperkenalkan dan mempopularkan istilah lo-fi sebagai satu bentuk subgenre.

Pada masa kini, playlist-playlist lo-fi yang disebutkan tadi menjadi terkenal dalam kalangan pelajar sebagai muzik untuk belajar mereka kerana muzik yang dihasilkan tidak terlalu berat dan berbentuk instrumental. Karakteristik muzik lo-fi yang tipikal adalah paling asas perlu dalam bentuk instrumental dan tiada suara nyanyian. Suara-suara alam atau bunyi kehidupan seharian seperti keadaan di kedai, pasar, jalan raya, lapangan terbang dan berbagai lagi menjadi satu elemen yang biasa dimuatkan dalam muzik lo-fi. Kebiasaannya muzik lo-fi yang dihasilkan banyak menggunakan genre neo soul atau jazz moden (acid jazz & smooth jazz) kerana muziknya yang lebih lembut untuk didengar berbanding jazz klasik. Paling penting adalah gabungan dentuman irama hip hop dan R&B yang dibuat secara loop atau berulang-ulang.

Kesimpulan


Muzik lo-fi adalah satu bentuk subgenre baru dalam dunia muzik. Pada masa kini, penghasilan muzik adalah lebih mudah kerana menggunakan aplikasi AI. Walau bagaimanapun, muzik lo-fi yang dihasilkan AI mempunyai kontroversi dalam kalangan penggiat muzik konvensional yang menganggap sebagai bukan muzik sebenar. Walaupun muzik lo-fi pada masa kini dijana hampir sepenuhnya oleh teknologi AI, bagi saya muzik adalah muzik. Selagi mana satu bunyi yang menyenangkan halwa telinga saya, saya anggap sebagai muzik yang berkualiti. Muzik lo-fi ini dikatakan muzik yang mampu memberi ketenangan kepada pelajar dalam membuat ulang kaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan. Jika muzik seperti ini memberi kesan positif kepada individu, tidak perlulah kita sekat penggunaannya selagi mana ia tidak melalaikan mereka (penulis adalah dari generasi millenial).

Rujukan

Beeson, S. (2023, November 15). What is lofi music? YouTube’s new favorite genre. Retrieved from uppbeat.io: https://uppbeat.io/blog/what-is-lofi-music/

Hurt, E. (2018, Ogos 2). Lo-Fi Pioneer R. Stevie Moore Continues to Seek His Place in the Pop Firmament. Retrieved from Nashvillescene: https://www.nashvillescene.com/music/features/lo-fi-pioneer-r-stevie-moore-continues-to-seek-his-place-in-the-pop-firmament/article_f275d9bc-801f-5a65-a3ea-b760736233d6.html

Jones, E. (2021). DIY and Popular Music: Mapping an Ambivalent Relationship across Three Historical Case Studies. Popular Music and Society Volume 44, Issue 1, 1-20.

MasterClass. (2021, Jun 8). Lo-fi Music Guide: History and Characteristics of Lo-fi Music. Retrieved from MasterClass: https://www.masterclass.com/articles/what-is-lofi-explained

Skelton, E., Moore, J., Lawrence, C., & Grover, A. (2018, April 17). Don’t Call it Bedroom Pop: The New Wave of DIY. Retrieved from Complex.com: https://www.complex.com/pigeons-and-planes/a/eric-skelton/bedroom-pop-diy-artists

Smartsound. (2021, Mac 8). A History of LoFi. Retrieved from Smartsound: https://cloud.smartsound.com/blog/a-history-of-lofi/

Tea’n’Tunes. (2020, Januari 14). Bedroom Pop and the Rise of the DIY Artist. Retrieved from The Medium: https://brokenstereo.medium.com/bedroom-pop-and-the-rise-of-the-diy-artist-1946e83bc7e0

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *