Gundik Kota Larangan: Sebuah Potret Diskriminasi Wanita

Gundik merupakan perempuan yang hidup berhubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin tanpa ada ikatan yang sah (tidak dikahwini). Taraf gundik adalah lebih rendah berbanding isteri pertama yang dikahwini secara sah. Dalam adat tamadun China, hanya maharaja yang dibenarkan memiliki lebih dari seorang isteri dan beberapa gundik yang mereka mampu. Namun, ada pendapat mengatakan bahawa hubungan poligami juga diamalkan oleh individu yang berkedudukan tinggi dalam negara tetapi jumlah gundik yang boleh dimiliki adalah terhad.

Gundik-gundik diraja berbeza dengan gundik orang kebanyakan dan mempunyai hierarki tersendiri dalam istana. Maharani, permaisuri dan gundik istana akan ditempatkan di satu tempat khas yang dipanggil sebagai harem atau tempat gundik-gundik. Harem adalah tempat yang dilarang untuk didekati oleh lelaki kecuali penjaga yang dibenarkan oleh pihak istana iaitu golongan sida-sida (lelaki yang dikasi).

 Amalan poligami dalam istana sudah lama diamalkan sejak dinasti China pertama iaitu Dinasti Qin (221 Sebelum Masihi) dan diteruskan oleh dinasti-dinasti seterusnya sehingga dinasti yang terakhir iaitu Dinasti Qing pada tahun 1912.

Dari sudut pandangan sejarah, maharaja China boleh memiliki berapa ramai gundik yang mereka inginkin bagi memastikan zuriat dan waris mereka terjaga dan lebih ramai. Terdapat beberapa pandangan yang mengatakan bahawa fungsi gundik yang ramai adalah hanya sebagai pemuas nafsu maharaja semata-mata. Atas dasar kekuasaan dan kekayaan, maharaja boleh memiliki seberapa orang gundik yang mereka mahukan. Maharaja dari Dinasti Ming dikatakan mempunyai 9000 orang gundik semasa era pemerintahan mereka. Namun, terdapat seorang maharaja dari Dinasti ini iaitu Maharaja Hongzi yang mengamalkan perkahwinan monogami. Baginda hanya mempunyai seorang permaisuri dan mempunyai waris zuriat tanpa ada hubungan dengan gundik dan perempuan lain.

Pemilihan Gundik

Pada awal kemunculan Tamadun China, pemilihan gundik adalah dari kalangan rakyat biasa dan biasanya dari golongan yang miskin. Namun, pada pertengahan Tamadun China pemilihan gundik dari kerabat yang berada. Harem mempunyai kedudukan dan status yang berbeza. Kedudukan paling tinggi semestinya diketuai oleh maharani. Di bawah maharani terdiri daripada permaisuri. Permaisuri meruapakan isteri-isteri maharaja dan ada sesetengah sejarawan berpendapat permaisuri adalah gundik tertinggi dalam istana. Seterusnya adalah gundik biasa namun tetap mempunyai darjat yang tinggi berbading pelayan-pelayan wanita di istana.

Kelas-kelas gundik ini diukur berdasarkan kepintaran mereka atau sekiranya mereka melahirkan zuriat hasil hubungan dengan maharaja. Walaupun taraf gundik lebih rendah dalam kalangan wanita di dalam harem, kedudukan mereka lebih istimewa dan tinggi berbanding rakyat biasa.

Dalam catatan yang direkod pada tahun 1621 semasa era Maharaja Tianqi, seramai 5 000 orang remaja wanita yang berusia sekitar 9 hingga 16 tahun dihantar ke Kota Larangan untuk menjalani ujian menjadi gundik diraja. Sesiapa yang pernah menonton filem animasi ‘Mulan’ (1998) pasti pernah melihat adegan dimana Mulan dipaksa oleh keluarganya untuk menjadi pelayan kepada raja.

Pemilihan gundik seakan-akan berasaskan peperiksaan awam China. Pada hari pertama lebih kepada ujian fizikal untuk melihat fizikal wanita mengikut spesifikasi tertentu. 1 000 orang akan disingkirkan dan yang tinggal akan ke ujian yang seterusnya. Hari kedua adalah ujian adab dan kesantunan. Seramai 2 000 orang akan disingkirkan. Dari 2 000 orang yang tinggal akan menjalani ujian perwatakan personaliti pada hari ketiga dan seramai 1 000 orang akan disingkirkan. Pada hari seterusnya adalah ujian kelamin wanita dan yang benar-benar perawan sahaja yang dipilih. Seramai 700 orang disingkirkan dalam ujian ini. Pada hari kelima hingga hari ke-35 adalah ujian pengetahuan seperti kemahiran matematik, sastera dan seni.

50 orang yang berjaya diberi darjah kehormatan dan 3 pilihan tertinggi akan menjadi permaisuri dan gundik diraja. Selebihnya akan mejadi pelayan istana kelas pertama dan kelas yang kedua. Ujian pemilihan gundik ini biasanya akan dijalankan seperti peperiksaan awam tahap pertama iaitu sekali dalam masa tiga tahun.

Rutin kehidupan gundik di dalam istana Kota Larangan

Setiap keluarga dari kalangan rakyat biasa akan berusaha untuk mengelak anak perempuan mereka untuk dibawa masuk menjadi pelayan di dalam Kota Larangan. Walaupun dipandang sebagai kehidupan yang sangat terhormat, menjadi gundik di Kota Larangan bukanlah sesuatu yang indah untuk diterima bagi sesetengah wanita. Keluarga-keluarga di China akan mengahwini anak mereka lebih awal kerana khuatir jika pegawai pengurusan dalam istana memanggil anak mereka untuk dijadikan gundik. Keluarga yang dipilih kebiasaanya adalah atas dasar secara sukarela kerana kesempitan hidup serta pegawai kerajaan yang melakukan kesalahan jenayah melibatkan kerajaan China dan anak mereka sebagai gantian bagi mengurangkan hukuman.

Semua gundik diraja wajib sentiasa dalam keadaan yang menonjol, beradab, terhormat dan keadaan yang penuh bergaya. Reputasi harem di dalam istana adalah indikasi kepada kekuatan sesebuah empayar. Ia menunjukkan satu kumpulan wanita yang dipilih dengan tertib dan berkualiti dihimpun dibawah satu bumbung yang sama untuk melahirkan waris raja yang ada martabat. pegawai atasan akan bertungkus-lumus mengurus kehidupan intim maharaja. Mereka akan merekod giliran gundik yang akan tidur dengan maharaja setiap hari. Maharaja akan memilih gundik untuk ditiduri dan pegawai akan memanggil gundik ini untuk mempersiapkan diri sebelum dibawa oleh sida-sida kepada maharaja.

Maharaja akan memilih mana-mana gundik yang baginda suka untuk ditiduri pada setiap hari. Ia seakan-akan buku katalog makanan dan kita hanya perlu memilih menu makanan untuk dipesan. Gundik-gundik perlu berusaha untuk menonjolkan diri mereka supaya dipilih oleh maharaja untuk ditiduri. Hubungan gundik dan maharaja merupakan satu-satunya hubungan seksual yang gundik ada kerana tidak ada pegawai istana dari kalangan lelaki yang dibenarkan berjumpa dengan mereka kecuali sida-sida yang sudah tidak ada alat produktif lelaki. Sekiranya mereka tidak dipilih, mereka perlu akur dengan keputusan.

Kehidupan di dalam harem istana perlu mematuhi undang-undang yang ketat dan hierarki yang tetap. Rutin harian mereka akan diatur mengikut ketetapan yang dibuat oleh maharani (isteri utama maharaja) sebagai ketua harem. Setiap hari pada waktu pagi mereka akan menjalankan ritual sembah kepada moyang dan dewa-dewa. Selepas itu mereka akan bersarapan sebelum membuat aktiviti seperti membaca, menulis, menyulam, mendengar lagu dan menari.

 Aktiviti-aktiviti ini akan dilakukan setiap hari selama dalam perkhidmatan atau hayat mereka kerana mereka dikawal ketat untuk sentiasa berada di dalam Kota Larangan dan tidak boleh keluar dari istana. Perkara ini menyebabkan mereka berasa bosan. Mereka tidak dibenarkan berhubungan dengan dunia luar walaupun dengan mengutus surat. Mereka tidak boleh ada hubungan sulit dengan sida-sida atau mana-mana lelaki di istana. Ada pendapat mengatakan, mereka hanya dibenarkan untuk keluar untuk dijadikan hadiah kepada penguasa luar China sebagai lambang hubungan diplomatik. Sesetengah daripada mereka akan dibenarkan pulang ke kampung halaman selepas lama berkhidmat dan diberi pencen.

Ilustrasi kehidupan seharian gundik-gundik dalam Kota Larangan (sumber: Shine.cn)

Walaupun hidup dalam keadaan kemewahan, namun secara realitinya sangat mencabar dan kompleks. Sistem gundik yang berasaskan hierarki dan birokrasi dalam organisasi harem atau rumah gundik juga mempunyai masalah politik mereka tersendiri. Mereka akan sedaya upaya untuk lebih menonjol di mata maharaja untuk ditiduri. Walaupun ada hierarki kedudukan di antara gundik, berlaku persaingan yang kuat di kalangan mereka untuk mendapat perhatian maharaja. Persaingan yang kuat akan menyebabkan wujud blok-blok politik dan berlaku tindakan untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Dari Gundik ke Maharani dan Maharaja

Persaingan yang kuat antara permaisuri dan gundik-gundik menyebabkan salah seorang daripada mereka akan lebih menonjol. Lebih-lebih lagi sekirnya mereka mempunyai zuriat hasil daripada hubungan intim dengan maharaja. Mereka ini akan mendapat layanan yang istimewa di dalam harem dan istana.

Terdapat dua gundik istimewa yang berada dalam istana yang berkuasa hingga mereka mendapat darjat tertinggi dalam kerajaan iaitu maharani malah menjadi maharaja China. Dua individu ini ialah Maharaja Wu Zetian dan Maharani Dowager Cixi. Kekuasaan mereka di dalam istana menjadi mereka sangat berpengaruh dan mempunyai kuasa dalam menentukan keputusan kerajaan.

  1. Maharaja Wu Zetian

    Wu Zetian boleh dikatakan sebagai antara maharaja yang hebat di era pemerintahannya. Wu Zetian merupakan anak perempuan ahli pegawai tertinggi paling diminati dalam kerajaan dan pada umur 13 tahun, Wu Zetian diambil menjadi gundik oleh Maharaja Taizong selepas mendengar tentang kecantikan Wu Zetian.

    Potret Maharaja Wu Zetian

    Zetian bermula dengan taraf gundik kelas bawah namun tabiat baginda yang sentiasa melaporkan kelakuan buruk gundik-gundik lain kepada Maharaja Taizong menyebabkan Wu Zetian lebih menonjol dalam hierarki istana. Wu Zetian mempunyai visi yang tinggi untuk mengubah kerajaan walaupun terpaksa berdepan dengan musuh di dalam harem itu sendiri. Terdapat beberapa cubaan untuk membunuh baginda iaitu pakatan Maharani Wang dan Permaisuri Xiao kerana Wu Zetian terlalu bersikap penyibuk dengan hal dalam istana.

    Anak Maharaja Taizong iaitu Gaozong mempunyai perasaan minat terhadap Wu Zetian selepas kematian Ayahanda baginda. Wu Zetian mengambil peluang ini untuk mendapatkan kuasa menaiki taraf permaisuri kerana Wu Zetian tidak melahirkan anak daripada maharaja sebelumnya. Sekiranya gundik tidak melahirkan anak, mereka akan dijadikan sebagai biarawan di dalam istana.

    Hasil hubungan Wu Zetian dengan Maharaja Gaozong melahirkan seorang anak lelaki dan menjadikan Wu Zetian sebagai permaisuri terhormat di dalam kerajaan China. Wu Zetian mempunyai kepintaran dalam mengurus kerajaan. Sebelum Maharaja Gaozong meninggal dunia, baginda mengarahkan agar hal negara diurus sepenuhnya oleh Wu Zetian. Pertama kali dalam sejarah kerajaan China dimana tidak ada satu pun membantah keputusan ini dan mengesahkan kekuasaan seorang perempuan. Pada tahun 690 Masihi, Wu Zetian dipilih menjadi maharaja Dinasti Zhou dan merupakan satu-satunya maharaja yang dilantik dari kalangan wanita.

    2. Maharani Dowager Cixi

    Maharani Dowager Cixi juga bermula dari seorang gundik kelas bawah dan naik menjadi seorang wanita yang berpengaruh di dalam kerajaan China malah diiktiraf sebagai antara wanita yang paling berkuasa dalam sejarah tamadun manusia. Dowager Cixi bermula sebagai seorang gundik pada umur 16 tahun dan dikatakan tidak pernah ada hubungan atau berjumpa dengan mahajara. Peluang untuk mendapatkan zuriat dari darah daging maharaja tidak akan berlaku dan kemungkinan untuk menjadi biarawan adalah lebih tinggi.

    Maharani Dowager Cixi

    Rezeki Dowager Cixi mula berubah apabila beliau mula rapat dengan Maharani Zhen (1837 – 1881) dan meminta peluang dengan sida-sida supaya nama beliau dipilih untuk meniduri maharaja. Dowager Cixi berjaya melahirkan seorang anak lelaki seterusnya menaiki posisi gundik diraja di bawah maharani. Dowager Cixi adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang besar. Beliau cuba mengambil pengaruh disekelilingnya untuk menaiki status yang lebih tinggi.

    Penglibatan pertama beliau adalah pada Perang Candu Kedua (1856 – 1860) dan kerajaan China mengalami kekalahan. Maharaja murka dengan keputusan beliau menyebabkan beliau kehilangan pengaruh. Peristiwa ini adalah permulaan kepada kekuasaan Maharani Dowager. Disebabkan maharaja terlalu tua untuk memerintah, beliau cuba mendapatkan pengaruh dengan pegawai-pegawai kerajaan dengan mengatakan bahawa anak beliau adalah waris kerajaan China yang sebenar.

    Disebabkan anak beliau masih lagi kecil, Maharani Dowager mengambil tugas sebagai memerintah kerajaan China bersama-sama putera Kang, abang kepada adik maharani dan abang kepada bekas maharaja. Mereka memerintah atas nama maharaja yang masih kecil. Maharani Dowager sangat berpengaruh dan kuat. Sesiapa sahaja yang cuba mempertikaikan keputusan beliau akan dikenakan hukuman berat menyebabkan ramai yang tidak berani untuk berdepan dengan individu ini.

    Sumber Rujukan:

    Campus.SG. (2020, December 27). How to be an Imperial Consort. Retrieved from Campus.SG: https://www.campus.sg/how-to-be-an-imperial-consort-campus-sg/

    Ching Yee Lin. (2023, July 2). Qing China: How Was Life in the Imperial Harems Like? Retrieved from The Collector: https://www.thecollector.com/qing-china-imperial-harems/

    Hannah Ferla. (2021). From Concubine To Ruler: The Live of Emperor Wu Zetian and Empress Dowager. Hitory in the Making, Vol. 14 Article 7, 103 – 134.

    Jake McIvor. (2019). Women and Marriage in China: Qing, Mao and Post-Mao Peridos. Footnotes Vol 12, 6 – 23.

    Joanna Gillan. (2019, March 9). The Secret Life of an Ancient Concubine. Retrieved from Ancient Origin: https://www.ancient-origins.net/human-origins-religions/secret-life-ancient-concubine-001301

    Murdered His Mom. Retrieved from Atlas Obscura: https://www.atlasobscura.com/articles/china-only-monogamous-emperor-hongzhi

    Veronika Perkes. (2018, July 2). The Ming Dynasty Concubines: A Life of Abuse, Torture and Murder for Thousands of Women. Retrieved from Ancient Origin: https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ming-dynasty-concubines-life-abuse-torture-and-murder-thousands-women-007965

    Related Posts