Pernah tak kamu perasan, bila jumpa kucing berbulu tiga warna selalunya ada gabungan oren, putih dan hitam ianya hampir pasti betina? Kalau jumpa jantan pula, memang sangat-sangat jarang, macam jumpa durian isi merah! Kucing tiga warna ini dipanggil calico dalam istilah antarabangsa, dan di Malaysia kita selalu panggil saja “kucing tiga warna”. Ramai yang menganggap kucing ini bertuah, malah ada yang percaya ia pembawa rezeki. Tapi, di sebalik semua kepercayaan itu, ada satu fakta menarik dari sudut genetik dan sains yang ramai belum tahu. Jom kita bongkar rahsia sebenar kenapa kucing tiga warna hampir semuanya betina!

Genetik Warna: Misteri di Sebalik Bulu
Warna bulu kucing sebenarnya dipengaruhi oleh genetik, terutamanya kromosom jantina. Kucing, sama seperti manusia mempunyai kromosom jantan (XY) dan betina (XX). Warna bulu oren dan hitam dikawal oleh gen yang terletak pada kromosom X. Ini bermakna, untuk seekor kucing memiliki dua warna ini iaitu oren dan hitam, ia memerlukan dua kromosom X. Sebab itulah, kebanyakkan kucing tiga warna adalah betina kerana mereka mempunyai dua kromosom X yang boleh “membawa” dua warna tersebut.
Bagi kucing jantan pula hanya ada satu kromosom X dan satu kromosom Y, mereka hanya boleh mempunyai satu warna dominan daripada gen X itu, sama ada oren ataupun hitam, bukan kedua-duannya. Jadi, untuk jantan yang mempunyai bulu tiga warna, itu hanya boleh berlaku kalau mereka mempunyai satu kecacatan genetik yang sagat jarang iaitu mempunyai dua kromosom X dan satu kromosom Y menjadi XXY. Keadaan ini dinamakan klinefelter syndrome dan kucing jantan sebegini selalunya mandul.

Kenapa Warna Putih Ada Sekali?
Mungkin ada yang tertanya “habis tu, warna putih datang dari mana?”. Warna putih dalam kucing tiga warna ini tidak datang dari kromosom X seperti oren dan hitam. Ia datang dari gen yang berfungsi sebagai “penghalang warna” iaitu gen ini menghalang pigmentasi di bahagian-bahagian tertentu badan kucing, lalu menyebabkan bulu di kawasan itu menjadi putih. Gabungan warna oren, hitam dan putih inilah yang membentuk penampilan ikonik si calico.
Ini juga menjelaskan kenapa susunan warna pada setiap kucing tiga warna tidak sama. Ada yang oren lebih dominan, ada yang putih lebih banyak. Semuannya bergantung pada bagaimana gen-gen ini “bermain” semasa proses perkembangan embrio.
Fakta Menarik: Kucing Calico Jantan Memang Ada, Tapi…
Kucing calico jantan memang wujud, tetapi peratusannya sangat kecil dan mungkin lebih kurang 1 dalam 3,000 ekor kucing tiga warna adalah jantan. Mereka selalunya tidak subur dan mempunyai masalah kesihatan kerana kromosom tambahan yang mereka miliki. Dalam dunia haiwan, ini dianggap satu keajaiban genetik. Sebab itulah, kalau seseorang memiliki kucing calico jantan, ia dianggap sangat luar biasa dan ada yang menjadikannya sebagai simbol tuah.
Namum, dari sudut sains, ianya bukan magik atau keajaiban spiritual, tetapi sebaliknya hanyalah mutasi genetik yang jarang berlaku.
Mitos dan Kepercayaan Tradisional
Dalam banyak budaya, kucing tiga warna sering dikaitkan dengan tuah dan pelindung dari nasib malang. Di Jepun, kucing calico digelar maneki-neko (patung kucing melambai) yang biasanya membawa kekayaan. Di sesetengah kawasan di Asia Tenggara, orang percaya kucing ini boleh menghalau roh jahat atau memberikan petanda baik jika ia datang bertandang ke rumah.

Meskipun tiada bukti saintifik menyokong kepercayaan ini, hakikatnya bahawa kucing calico sukar dijumpai terutamanya yang berjantina jantan seterusnya menjadikan ia haiwan istimewa dalam masyarakat.
Kesimpulan: Ilmu Genetik yang Buat Kita Menghargai Ciptaan Tuhan
Kisah tentang kucing tiga warna ini bukan sekadar cerita comel tentang haiwan peliharaan. Ia mengajar kita betapa halus dan rumitnya ciptaan Allah S.W.T. Hanya kerana kombinasi gen dan kromosom, seekor kucing boleh menjadi simbol tuah atau keunikan. Pengetahuan ini juga menunjukkan bahawa setiap makhluk ada rahsia dan cerita tersendiri yang menanti untuk kita fahami.
Daripada keunikan genetik hingga kepercayaan masyarakat, kucing tiga warna ini terus menjadi subjek yang menarik untuk dibincangkan. Maka lain kali bila kamu terserempak dengan kucing calico, berhenti sekejap, tengok warnanya, dan fikirkan betapa istimewanya makhluk ini. Bukan hanya sebab warnanya yang cantik, tetapi juga kerana kisah sainsnya di sebaliknya. Dan kalau jumpa calico jantan…baik kamu ambil gambar, sebab itu memang rare!