Kod Rahsia Yang Masih Misteri Sehingga Sekarang

Kriptografi atau kod rahsia menjadi topik yang menarik bagi sesetengah masyarakat samada mereka itu profesional atau tidak. Ia seakan-akan bermain dengan teka-teki yang susah dirungkai dan memberi kepuasan yang tinggi jika dapat diselesaikan. Terdapat beberapa kriptografi yang masih belum dapat diselesaikan oleh sesiapa yang menyimpan pelbagai rahsia dan mungkin harta yang bernilai jutaan ringgit.

Kod Rahsia Beale

Kod Rahsia Beale atau The Beale Cipher merupakan salah satu kriptrografi terkenal yang masih belum terungkai sehingga sekarang. Kod ini dinamakan sempena nama seorang individu iaitu Thomas Jefferson Beale yang didakwa menanam harta karun berharga di Virginia, Amerika Syarikat pada awal abad ke-19. Kod ini didakwa menjadi pemandu arah lokasi harta karun yang ditinggalkan oleh Beale.

Kod Rahsia Beale (sumber: Historicair/Wikimedia Commons)

Thomas Beale hanya meninggalkan tiga keping kertas yang penuh dengan nombor-nombor sebagai petunjuk kepada harta yang disembunyikan. Terdapat pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh penggemar pemecah kod untuk menyelesaikan rahsia ini. Hanya kertas kedua yang berjaya dirungkaikan iaitu mengandungi satu maklumat berkenaan jumlah emas dan berlian yang banyak disimpan di dalam tanah 4 batu dari Buford.

Dari tahun 1970 hingga 1996, terdapat satu organisasi yang dipanggil sebagai ‘Beale Cipher Association’. Setiap ahli dalam organisasi ini perlu membayar sebanyak 25 dolar setahun dan diberikan informasi terkini tentang kod rahsia yang tersebut. Mereka juga akan diberi latihan seperti seminar dan ceramah tentang pemecahan kod rahsia. Dikatakan organisasi ini hanya akan mengambil 10% daripada harta tersebut sekiranya terdapat ahli dalam organisasi yang menemuinya. Walaubagaimanapun, usaha-usaha seperti ini juga tidak membuahkan hasil.

Walaupun Kod Rahsia Beale masih dalam misteri, ia telah menjadi perintis dalam bidang ketenteraan untuk menyimpan rahsia berkenaan strategi dan lokasi dalam peperangan. Kod ini juga digunakan dalam permainan interaktif seperti pemburuan harta karun. Disebabkan pelbagai usaha telah menemui kegagalan, ada yang berpendapat kod rahsia ini adalah palsu dan tabiat untuk cuba merungkaikannya adalah perkara yang sia-sia.

Nota Ricky McCormick

Pada 30 Jun 1999, mayat seorang lelaki bernama Ricky McCormick dijumpai di sebuah ladang 20 batu dari St. Louis, Missouri. McCormick merupakan seorang lelaki yang banyak melakukan jenayah dari usia muda. Pada waktu kecil, McCormick dikatakan mempunyai masalah mental dan kurang diberi perhatian. Namun, kematian McCormick membawa kepada satu misteri yang belum dapat dirungkai oleh FBI.

FBI telah menemui dua keping nota dalam poket McCormick seperti sebuah kod rahsia. Apa yang menarik ialah nota ini dijumpai dalam poket McCormick 12 tahun selepas kes ini berlaku. Pada mulanya, FBI cuba menggunakan bantuan CRRU iaitu kumpulan penganalisa dan pemecah kod dalam jabatan FBI. Usaha ini menemui kegagalan. FBI cuba menyiarkan nota ini did alam laman sesawang FBI untuk meminta bantuan awam merungkai misteri ini. Masalah yang timbul adalah laman sesawang FBI menjadi rosak kerana pengunjung laman sesawang melebihi 7000 orang.

Nota Kedua yang dijumpai dalam poket Ricky McCormick (sumber: Wikipedia)

Misteri mula timbul apabila FBI mendakwa nota tersebut dibuat oleh McCormick sendiri. Namun, ibu bapa McCormick menidakkan kerana tulisan tersebut bukan dari McCormick. Nota ini juga mungkin menjadi panduan kepada FBI untuk menjejak pembunuh beliau. Tetapi pihak polis juga bersetuju kerana McCormick adalah seorang yang tidak begitu waras dan tidak begitu memberi kepentingan. Polis juga beranggapan bahawa nota tersebut merupakan penulisan suka-suka yang dibuat oleh seseorang mempunyai masalah mental. Tetapi ada individu mengatakan penulisan seseorang sangat bermakna kepada diri mereka walaupun mereka kurang waras.

Kod Rahsia Dorabella

Kod Rahsia Dorabella atau dikenali sebagai Dorabell Cipher adalah antara kriptografi terkenal dan sangat rumit untuk diselesaikan. Pada tahun 1897, seorang komposer muzik klasik terkenal iaitu Edward Elgar memberi satu keping nota berbentuk kod rahsia kepada seorang wanita muda iaitu Dora Penny. Kriptografi ini sangat unik kerana mengandungi 87 simbol semi bulatan seakan-akan sama. Sehingga sekarang kod ini masih belum dapat dipecahkan oleh sesiapa termasuk Dora Penny sendiri.

Kod yang diberikan oleh Elgar kepada Penny

Penny tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai kod rahsia tersebut sehingga pada tahun 1940 iaitu selepas 3 tahun kematian Elgar. Penny menulis sebuah buku memoir bertajuk Edward Elgar: A History of a Variation dan mendedahkan nota kiriman yang diberikan oleh Elgar. Penny cuba memecahkan makna nota tersebut selama 40 tahun tetapi menemui kegagalan.

Beberapa peminat pemecah kod kriptografi pada masa itu cuba untuk mengurai rahsia yang terkandung dalam nota tersebut. Terdapat beberapa individu mengatakan bahawa kod rahsia ini hanya diketahui oleh Elgar dan Penny. Namun, Penny menafikannya kerana beliau biasanya berhubung dengan Elgar hanya menggunakan surat dengan bahasa yang mudah.

Bebebapa teori mengatakan bahawa nota ini merupakan surat cinta Elgar kepada Penny. Namun Elgar pernah menyatakan bahawa hubungan beliau dengan Penny tidak lebih dari kawan rapat. Bagi pakar muzik, nota ini merupakan satu bentuk muzik yang ditujukan kepada Penny walaupun tiada bentuk nota muzik langsung.  Sehingga sekarang ramai yang gagal untuk membuka rahsia kriptografi ini walaupun menggunakan teknologi perkomputeran.

Kod Manuskrip Voynich

Kod Voynich merupakan sebuah manuskrip purba yang dianggarkan berumur lebih kurang 600 tahun. Manuskrip misteri ini telah menarik minat para pengkaji termasuk penyelidik, penganalisa kriptografi dan pakar perkomputeran. Manuskrip berjumlah 250 muka surat mengandungi tulisan kodeks kuno, lakaran tubuh wanita, lukisan ganjil, tumbuhan pelik dan simbol-simbol cakerawala.

Salah satu halaman dalam manuskrip Voynich

Buku ini dimiliki oleh seorang pengumpul buku lama iaitu Wilfred Voynich pada tahun 1912 yang dibeli di Rom. Berdasar pentarikhan radiokarbon, buku ini dipercayai ditulis sekitar awal abad ke-15 di Eropah Tengah. Orang pertama yang dipercayai memiliki buku ini adalah salah seorang Maharaja Rom Suci iaitu Rudolf II.

Pengkajian manuskrip kuno ini penting untuk mendapatkan informasi lama berkaitan dengan zaman pertengahan di Eropah. Tumbuhan-tumbuhan yang dilukis dalam manuskrip ini tidak pernah ditemui dan dikatalogkan. Dari segi lingustik, terdapat beberapa tulisan kuno yang tidak difahami dan wujud di dunia. Ada yang berpendapat buku ini adalah satu bentuk gurauan dan penulisan yang merepek. Tetapi buku ini ditulis dan disusun dengan kemas dan agak mustahil untuk dibuat tanpa tujuan.

Beberapa pakar kriptologi dan sejarawan terkenal cuba untuk merungkai misteri buku ini termasuk Elizabeth Friedman dan Erwin Panofsky. Pada era moden, kaedah teknologi digunakan untuk membaca manuskrip ini dengan menyusun beberapa algoritma tertentu. Namun, jawapannya tetap sama. Buku ini masih misteri sehingga sekarang.

Rujukan

Bob Ciphers. (21 January, 2022). A Puzzling Case: Help Solve This Cryptic Cold Case That Has Stumped Detectives.

Domagoj Valjak. (22 Disember, 2017). The Dorabella Cipher: A Cryptic Letter From A Married Composer To A Young Woman That’s Been Unsolved Since 1897. Retrieved from Vintage News.

Naomi Blumberg. (n.d.). Voynich Manuscipt. Retrieved from Brittanica.

Neil Patmore. (20 April, 2023). The Baffling Story of Ricky McCormick’s Unsolved Death and The Cryptic Notes He Left Behind.

Related Posts