Bayangkan satu pasukan tentera yang lahir dari perhambaan tetapi menjadi penguasa, dari hamba kepada sultan, dari pejuang bayangan kepada pemimpin dunia Islam. Itulah Mamluk! Sebuah legasi peperangan, kesetiaan dan strategi yang menggegarkan sejarah kententeraan Islam.
Di kala Khalifah Abbasiyah menghadapi perpecahan dalaman dan ancaman luar, mereka mencipta satu pasukan elit yang dikatakan mustahil untuk ditewaskan iaitu askar Mamluk. Mereka bukan sekadar pejuang biasa, tetapi pahlawan terlatih, penunggang kuda yang handal dan pakar taktik perang yang akhirnya membentuk sejarah dengan tangan mereka sendiri.
Namun, apa yang bermula sebagai strategi Abbasiyah untuk mengawal empayar berubah menjadi satu kebangkitan luar biasa. Mamluk yang asalnya sekadar tentera upahan akhirnya menguasai kerajaan, menumbangkan pemerintah, dan bahkan mengalahkan Mongol dalam pertempuran epik!
Bagaimana mungkin sekumpulan hamba boleh mengukir namanya sebagai salah satu pasukan tentera paling hebat dalam sejarah dunia? Kisah mereka bukan sekadar tentang peperangan, tetapi juga kebangkitan luar biasa, pengkhianatan dan keagungan, Ini adalah cerita tentang Mamluk iaitu tentera yang bangkit dari bayangan untuk menulis semula sejarah Islam.
Siapakah Mamluk?
Istilah Mamluk berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “dimiliki” atau “diperhambakan”, merujuk kepada hamba dilatih sebagai askar elit. Tidak seperti hamba biasa, Mamluk diberikan pendidikan ketenteraan yang intensif, dan ramai di antara mereka akhirnya menduduki jawatan tinggi dalam angkatan tentera dan pentadbiran.
Kebanyakkan Mamluk berasal dari bangsa Turki, Circassian atau Asia Tengah yang dibawa ke dalam Khalifah Abbasiyah sejak kecil. Mereka mula menganut agama Islam, menjalani latihan ketenteraan yang ketat, dan menjadi golongan pahlawan yang setia kepada tuan mereka. Lama-kelamaan, mereka berkembang menjadi kelas tentera yang berpengaruh dan memberi kesan besar kepada dunia Islam.
Mengapakah Abbasiyah Menggunakan Askar Mamluk?
Penggunaan Mamluk dalam angkatan tentera Abbasiyah bermula pada abad ke-9 di bawah pemerintahan Khalifah Al-Mu’tasim (833 – 842 M). Terdapat beberapa sebab utama mengapa Abbasiyah mengambil strategi ini iaitu kesetiaan Mamluk kepada khalifah. Berbeza dengan askar Arab dan Parsi yang sering mempunyai kesetiaan kepada suku atau keluarga mereka, Mamluk hanya bergantung kepada tuan mereka. Ini menjadikan mereka lebih patuh kepada pemerintah Abbasiyah.
Mamluk juga mempunyai disiplin dan kemahiran yang tinggi. Mamluk menjalani latihan ketenteraan yang keras, termasuk kemahiran berkuda, memanah dan pertempuran jarak dekat, menjadikan mereka antara pasukan paling cekap di zamannya. Pada ketika masalah dalaman memuncak, kerajaan Abbasiyah berdepan dengan perpecahan antara puak Arab dan Parsi. Dengan merekrut Mamluk, khalifah dapat mengurangkan ketegangan politik dan memilik tentera lebih terkawal.
Kebangkitan Mamluk Dalam Politik Abbasiyah
Walaupun pada asalnya hanya sebagai tentera upahan, Mamluk dengan pantas meningkat dalam pangkat dalam angkatan tentera dan pentadbiran Abbasiyah. Ramai daripada mereka diangkat sebagai jeneral, gabenor dan komander tentera, menjadikan merka sangat berkuasa.
Menjelang pertengahan abad ke-9, Mamluk semakin mencampuri urusan politik. Mereka bahkan bertindak dalam menaikkan dan menjatuhkan khalifah, menjadikan mereka sebagai kuasa sebenar di sebalik takhta. Pengaruh mereka sangat kuat di bandar Sammara, yang menjadi pusat ketenteraan Abbasiyah pada ketika itu.
Salah satu peristiwa paling terkenal yang melibatkan kuasa Mamluk ialah pembunuhan Khalifah Al-Mutawakkil pada tahun 861 Masihi. Pembunuhan ini dilakukan oleh pengawal Mamluknya sendiri, menandakan permulaan era yang dikenali sebagai “Anarki di Samarra” (861 – 870 Masihi), di mana Mamluk secara langsung mengawal pemerintahan khalifah dan menggantikan mereka sesuka hati.
Dari Hamba Kepada Penguasa
Ketergantungan Abbasiyah kepada Mamluk akhirnya membawa kepada kejatuhan kawalan ke atas mereka. Mamluk mula menubuhkan kerajaan sendiri, bebas daripada pemerintahan Abbasiyah.
Antara kerajaan Mamluk yang wujud adalah Dinasti Tulunid (868 – 906 Masihi) apabila Ahmad Ibn Tulun, seorang jeneral Mamluk mengisytiharkan kemerdekaan dan membentuk kerajaan di Mesir. Selain itu, Dinasti Ikhshidi (935 – 969 Masihi) muncul yang dipimpin oleh Mamluk sebelum ianya akhirnya jatuh ke tangan Kerajaan Fatimiyyah.
Namun, kebangkitan terbesar Mamluk berlaku pada tahun 1250 Masihi, apabila mereka menubuhkan kesultanan Mamluk di Mesir selepas menggulingkan pemerintahan Ayyubiyah. Ironinya, Mamluk pada asalnya hamba kepada Abbasiyah akhirnya menjadi penjaga terakhir saki-baki Abbasiyah setelah Kota Baghdad dihancurkan oleh Mongol pada tahun 1258 Masihi.
Mamluk Benteng Terakhir Serangan Mongol
Mamluk tidak mengusir Mongol keluar dari Abbasiyah, kerana pada masa serangan Mongol ke atas Baghdad pada tahun 1258 M, Abbasiyah tidak mempunyai kekuatan tentera yang mampu menahan serangan tersebut. Kota Baghdad jatuh ke tangan Mongol yang dipimpin oleh Hulagu Khan dan Khalifah Al-Musta’sim dibunuh, menandakah berakhirnya pemerintahan Abbasiyah di Baghdad.
Namun, Mamluk memainkan peranan penting dalam menghentikan kemaraan Mongol di dunia Islam, khususnya Mesir dan Syam (Syria). Pertempuran epik antara Mamluk dan Mongol dikenali sebagai Pertempuran Ain Jalut pada tahun 1260 Masihi iaitu kemenangan besar Mamluk ke atas Mongol.
Selepas kejatuhan Baghdad, Mongol meneruskan penaklukan mereka ke arah barat, mengancam Mesir dan kawasan sekitarnya. Pada tahun 1260 M, tentera Mamluk di bawah pimpinan Sultan Saifuddin Qutuz dan panglima Baibars berhadapan dengan Mongol dalam pertempuran ini di Palestin. Dalam pertempuran ini, Mamluk berjaya mengalahkan tentera Mongol buat pertama kalinya dalam sejarah. Kejayaan ini menghentikan kemaraan Mongol ke Mesir dan Afrika Utara, sekaligus menjadikan Mamluk sebagai penyelamat dunia Islam ketika itu.
Selepas kemenangan di Ain Jalut, Sultan Qutuz dibunuh dan Baibars naik sebagai sultan Mamluk seterusnya (1260 – 1277 M). Baibar melancarkan serangan balas terhadap kubu Mongol diS yam. Mamluk terus berperang dengan Mongol selama beberapa dekad sehingga akhirnya mereka menguasai kawasan Syria dan menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahan Abbasiyah yang baru di bawah perlindungan mereka.
Kesimpulan
Penggunaan askar Mamluk oleh Abbasiyah merupakan satu keputusan yang mengubah sejarah Islam selama berabad-abad. Apa yang pada mulanya dilihat sebagai cara untuk mencipta tentera yang patuh akhirnya membawa kepada kejatuhan kawalan Abbasiyah ke atas Mamluk. Mereka bukan sahaja menguasai ketenteraan Abbasiyah, tetapi juga membentuk kerajaan mereka sendiri yang bertahan lebih lama daripada empayah asal mereka.