Pernahkah anda terfikir bahawa makanan yang anda nikmati hampir setiap hari ini mungkin pernah dianggap sebagai senjata pemusnah besar-besaran? Percaya atau tidak, buah tomato iaitu buah comel berwarna merah yang sering menjadi bahan utama dalam sambal, pizza dan spaghetti dulu dianggap beracun di Eropah!
Pernah suatu ketika dulu, orang Eropah sangat takut untuk memakan buah tomato, malah percaya bahawa tomato boleh membawa maut. Jadi bagaimana si tomati ini berubah daripada “buah syaitan” kepada raja dapur moden? Mari kita bongkarkan kisahnya, sambil bersyukur kerana tidak hidup pada zaman orang takut makan tomato.
Tomato Sampai Ke Eropah: Buah Eksotik Tapi Mencurigakan
Tomato berasal dari Amerika Selatan, di mana orang Aztek dan Inca sudah lama menikmatinya dalam masakan mereka. Kemudian datanglah penjajah Sepanyol yang bersemangat nak ambil segala benda yang ada di Amerika Latin seperti emas, tanah dan termasuk buah tomato.
Pada abad ke-16, penjelajah Sepanyol iaitu Hernan Cortes menemui tomato dan membawanya ke Eropah. Orang Eropah terpinga-pinga melihat buah ini dan melihatnya seakan-akan buah yang bukan datang dari bumu. Dengan warna merah menyala dan bentuk bulat yang menawan, tomato nampak menggoda. Mereka ingin memakannya tetapi masih ada kerisauan tentang keselamatan sebagai bahan makanan. Mereka berfikiran “hari ini aku makan, esok aku masih hidup atau tidak?”.
Pada mulanya tomato dianggap sebagai tumbuhan hiasan yang eksotik dan bukannya makanan. Ia diberi nama saintifik Solanum lycopersicum, yang dikategorikan sebagai tumbuhan dari keluarga nighthade.
Tumbuhan nightshade adalah tumbuhan solanaceae yang mengandungi lebih daripada 2,000 spesis tumbuhan. Keluarga buah ini terkenal kerana ada kandungan alkaloid, sebatian kimia yang boleh berfungsi sebagai pertahanan semula jadi terhadap haiwan pemangsa dan serangga. Dalam dos yang tinggi, alkaloid ini boleh menjadi racun. Tetapi dalam jumlah yang sesuai seperti tomato, ia selamat dimakan. Namun, orang Eropah pada ketika itu menyamakan tomato dalam keluarga buah nighshade yang bahaya untuk dimakan.
Mengapa Orang Eropah Takut Makan Tomato Pada Mulanya?
1. Dikaitkan dengan buah beracun
Tomato berasal daripada keluarga tumbuhan yang sama dengan beberapa tumbuhan beracun. Sesetengah tumbuhan dalam keluarga ini menghasilkan sebatian alkaloid yang boleh menyebabkan keracunan. Contoh buah yang mempunyai kandungan alkoloid yang tinggi adalah seperti belladona, mandrake dan datura. Spesis buah ini tidak sesuai dimakan oleh manusia kerana boleh membahayakan nyawa. Oleh kerana kurangnya pengetahuan saintifik pada masa itu, ramai yang menganggap tomato juga beracun seperti keluarga botaninya.
2. Mitos “Epal Beracun”
Salah satu teori paling terkenal tentang ketakutan terhadap tomato berkaitan dengan pinggan pewter yang digunakan oleh golongan bangsawan Eropah. Pada abad ke-16 dan ke-17, golongan kaya menggunakan pinggan yang diperbuat daripada pewter, bahan yang tinggi kandungan plumbum. Apabila makanan berasid seperti tomato diletakkan di atas pinggan ini, ia boleh melarutkan plumbum dan menyebabkan keracunan.
Kerana rakyat biasa kebanyakkannya menggunakan pinggan kayu, mereka tidak mengalami masalah ini. Namun, kerana pemahaman tentang keracunan plumbum masih belum jelas pada masa itu, tomato dipersalahkan sebagai penyebab penyakit misteri ini. Ironinya, makanan yang kini sering dikaitkan dengan kemewahan seperti pasta berasaskan tomato dulu dianggap sebagai racun untuk bangsawan!
3. Pengaruh Kepercayaan dan Agama
Pada zaman Renaissance, banyak makanan dikaitkan sama ada dengan unsur kebaikan atau kejahatan. Warna merah terang dan bentuk luar biasa tomato menyebabkan sesetengah orang percaya bahawa ia mempunyai kaitan dengan sihir dan unsur syaitan. Disebabkan warna tomato yang menyerlah merah, ada yang kata ia berkaitan dengan darah. Kenapa mereka tidak mencela buah cili pada ketika itu yang mempunyai rasa pedas dan warna merah yang sama jelas seperti tomato?
Seperti biasa, bila ada sesuatu yang orang tidak faham, mulalah muncul teori konspirasi. Pada zaman itu, ada orang percaya bahawa tomato boleh menyebabkan kegilaan, mencetuskan nafsu syaitan atau membawa malapetaka kepada keluarga yang memakannya. Entah-entah semua pengamal sihir di Eropah ketika itu menggunakan tomato untuk ilmu sihir dan memakannya. Secara tidak langsung menjadikan mereka lebih sihat daripada orang Eropah yang dungu.
4. Salah Informasi dan Kurangnya Pengetahuan Saintifik
Tanpa sains moden, adalah mudah untuk maklumat salah tersebar. Jika seseorang jatuh sakit selepas makan hidangan yang mengandungi tomato, mereka mungkin menyalahkan buah tersebut tanpa mempertimbangkan faktor seperti air yang tercemar, daging yang sudah rosak atau keracunan plumbum.
Bagaimana Tomato Berjaya Mengubah Reputasinya?
Walaupun, pada mulanya ditolak, tomato akhirnya diterima secara meluas dalam masakan Eropah. Itali adalah negara Eropah pertama yang menerima tomato. Menjelang akhir abad ke-17, masyarakat Itali mula menggunakannya dalam masakan., kemudiannya membawa kepada penciptaan sos tomato yag menjadi asa banyak hidangan Itali seperti pizza.
Penyelidik dan saintis mula membantu membongkar mitos tentang tomato. Apabila sains semakin maju, orang ramai mula menyedari bahawa tomato bukan sahaja selamat untuk dimakan, tetapi juga kaya dengan nutrisi.
Perdagangan global juga menjadi pencetus kepada penyebaran resepi berasaskan tomato. Semasa empayar-empayar Eropah berkembang, mereka membawa tomato ke pelbagai bahagian dunia, membantu menjadikannya sebahagian daripada pelbagai budaya makanan. Menjelang abad ke-18 dan abad ke-19, tomato sudah menjadi bahan makanan utama di Eropah dan Amerika, menghasilkan hidangan ikonik seperti pasta, gazpacho dan sos.
Kesimpulan
Ketakutan terhadap tomato adalah contoh menarik bagaimana kepercayaan karut, maklumat yang salah dan kekurangan pengetahuan saintifik boleh membentuk sejarah makanan. Dahulu dianggap beracun, kini tomato menjadi antara bahan masakan paling disukai di seluruh dunia. Sukar untuk membayangkan dunia tanpa sos tomato. Tetapi selama berabad-abad, itulah yang dipercayai oleh orang Eropah.
Jadi, lain kali kalau ada orang sebarkan teori pelik tentang makanan, ingatlah kisah sejarah buah tomato. Mungkin hari ini kita dengan sesuatu makanan “berbahaya”, tapi siapa tahu, 100 tahun lagi ia menjadi makanan kegemaran dunia?