Bayangkan anda seorang pendaki yang berpengalaman, mendaki gunung bersalji bersama rakan-rakan hanya untuk hilang tanpa jejak dim alam yang sunyi. Beberapa minggu kemudian, mayat anda ditemui dengan sebahagiannya tanpa pakaian dalam suhu takat beku, ada yang mengalami kecederaan dalaman seperti dihentam sesuatu dengan kuasa luar biasa. Perkara yang menambah pelik lagi adalah ada yang kehilangan lidah dan terkena radiasi misteri.
Inilah insiden Dyatlov Pass, sebuah tragedi sebenar yang berlaku pada tahun 1959 di Pergunungan Ural, Rusia. Kes ini bukan sekadar kehilangan biasa, tetapi ia penuh dengan petunjuk yang mengelirukan dan misteri yang sehingga kini masih belum terungkai sepenuhnya. Apa yang berlaku sebenarnya berlaku kepada sembilan pendaki ini? Adakah mereka menjadi mangsa bencana alam, eksperimen rahsia kerajaan atau sesuatu yang lebih mengerikan?
Lebih enam dekad telah berlalu, tetapi Dyatlov Pass masih menjadi misteri paling membingungkan dalam sejarah dunia. Dalam artikel ini, kita akan meneliti bukti, teori paling popular serta penemuan terbaru yang mungkin membawa kita lebih dekat kepada jawapan sebenar.
Kronologi Insiden Dyatlove Pass
Pada akhir Januari 1959, sekumpulan sepuluh pendaki ski dari Institut Politeknik Ural yang diketuai oleh Igor Dyatlov, memulakan ekspedisi ke kawasan utara Pergunungan Ural di Kesatuan Soviet. Kumpulan ini terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita, semuannya pelajar atau graduan muda yang berpengalaman dalam pendakian dan ski. Mereka merancang untuk mencapai puncak Gunung Otorten, sebuah perjalanan mencabar yang memerlukan mereka menempuh jarak sekitar 300 kilometer.
Pada 27 Januari 1959, kumpulan ini memulakan perjalanan mereka dari Vizhai, tempat persinggahan terakhir sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan lebih terpencil dan asing yang mereka rancang untuk terokai. Namun pada 28 Januari, salah seorang pendaki iaitu Yuri Yudin terpaksa meninggalkan ekspedisi kerana masalah kesihatan yang dialaminya. Oleh itu, baki sembilan pendaki meneruskan perjalan mereka.
Sebelum berangkat, Dyatlov telah memberitahu bahawa beliau akan menghantar telegram kepada kelab sukan mereka sebaik sahaja pendakian beliau kembali ke Vizhai yang dijangka tidak lewat daripada 12 Februari. Namun, Dyatlov juga memberitahu Yuri Yudin bahawa beliau menjangkakan perjalanan mungkin mengambil masa lebih lama.
Setelah 12 Februari berlalu tanpa sebarang berita daripada kumpulan tersebut, tiada tindakan segera diambil kerana kelewatan beberapa hari dianggap biasa bagi ekspedisi seperti ini. Hanya pada 20 Februari 1959, apabila keluarga para pendaki mula bimbang dan menuntut operasi penyelamatan, pihak institut menghantar kumpulan penyelamat pertama yang terdiri daripada pelajar dan sukarelawan guru. Kemudian, tentera dan pihak berkuasa turut terlibat dengan pesawat dan helikopter dikerahkan untuk menyertai operasi tersebut.
Pada 26 Februari, pasukan penyelamat menemui khemah kumpulan tersebut di lereng timur Kholat Syakhl. Khemah itu rosak teruk dan ditinggalkan dalam keadaan yang membingungkan. Mikhail Sharavin, pelajar yang menemui khemah tersebut berkata “Khemah itu separuh runtuh dan dilitupi salji. Ia kosong dan semua barang serta kasut kumpulan masih ditinggalkan di dalam khemah”.

Para penyiasat mendapati khemah tersebut telah dicarik dari dalam. Jejak kaki tanpa kasut atau hanya memakai satu kasut dapat diikuti, menuju ke pinggir hutan berhampiran kira-kira 1.5 kilometer ke timur laut. Selepas 500 meter, jejak tersebut hilang ditutupi oleh salji. Di pinggir hutan, di bawah sebatang pokok pain, pasukan penyelamat menemui sisa-sisa unggun api kecil dan dua mayat pertama iaitu Krivonishenko dan Doroshenko, tanpa kasut dan hanya berpakaian dalam.
Batang pokok tersebut patah hingga ketinggan lima meter, menunjukkan bahawa salah seorang pendaki mungkin telah memanjat untuk mencari sesuatu, kemungkin ingin mencari khemah mereka. Di antara pokok tersebut dan khemah, pasukan penyelamat menemui tiga lagi mayat yang meninggal dalam posisi seperti ingin cuba kembali ke khemah. Mereka ditemui pada jarak 300 meter hingga 650 meter dari pokok tersebut.
Penemuan empat pendaki lain mengambil masa lebih daripada dua bulan. Akhirnya mereka ditemui pada 4 Mei di bawah empat meter salji dalam sebuah gaung, 75 meter jauh ke dalam hutan dari pokok tersebut. Tiga daripada mereka berpakaian lebih baik daripada yang lain, dan terdapat tanda-tanda bahawa mereka memakai pakaian yang telah digunakan oleh rakan pendaki mereka yang telah meninggal dunia.
Teori-Teori Yang Berkaitan
1. Teori runtuhan salji
Salah satu penjelasan saintifik yang paling diterima adalah bahawa runtuhan salji memaksa para pendaki melarikan diri dari khemah mereka, menyebabkan mereka mengalami hipoterma dan kecederaan maut. Walau bagaimanapun, ada spekulasi berpendapat bahawa cerun gunung itu tidak cukup curam untuk runtuhan salji atau avalanche berlaku. Mereka mengandaikan bahawa para pendaki sudah mempunyai pengalaman dan tahu selok belok di mana kawasan sesuai untuk mendirikan khemah.
2. Eksperimen ketenteraan yang gagal
Sebahagian kumpulan konspirasi percaya bahawa para pendaki menjadi mangsa ujian senjata rahsia Soviet. Kesan radiasi pada pakaian mereka dan kecederaan dalaman yang tidak mempunyai luka luaran menyerupai trauma akibat letupan, menyokong teori bahawa mereka mungkin terkena letupan senjata atau periuk api udara.
3. Teori paranormal & supernatural
Beberapa teori yang melibatkan perkara paranormal yang menyebabkan insiden ini berlaku dan hampir tidak masuk akal. Jejak tapak kaki yang besar ditemui berhampiran lokasi kejadian mencetuskan teori bahawa mereka mungkin diserang oleh makhluk seperti yeti. Terdapat laporan bahawa cahaya pelik kelihatan di langit di sekitar Dyatlov Pass pada malam kejadian, membawa kepada spekulasi tentang penglibatan makhluk asing. Ada kajian saintifik mencadangkan bahawa angin ekstrem mungkin telah menghasilkan gelombang bunyi infrasonik yang menyebabkan para pendaki mengalami panik teruk, lalu melarikan diri secara tidak rasional.
Teori & penemuan terbaru pada tahun 2025
Satu kajian oleh saintis Switzerland pada tahun 2021, yang diilhamkan oleh filem Disney Frozen, mencadangkan bahawa runtuhan salji jenis “slab avalance” mungkin menjadi punca kecederaan para pendaki. Simulasi komputer menunjukkan bahawa dalam keadaan salji tertentu, runtuhan kecil tetapi berbahaya boleh berlaku, menghancurkan mereka dalam khemah. Pada tahun 2025, satu kajian lapangan telah dilakukan mengesahkan bahawa corak salji di kawasan itu memang sesuai untuk kejadian runtuhan slab avalance menjadikan teori ini semakin kukuh.
Terdapat penemuan baru juga iaitu baru-baru ini dokumen rahsia soviet telah didedahkan, menunjukkan bahawa aktiviti ketenteraan di kawasan itu jauh lebih aktif daripada yang dipercayai sebelum ini. Walaupun tiada bukti langsung mengenai ujian senjata, dokumen ini memberi bayangan bahawa kawasan tersebut adalah zon larangan kerana operasi sulit, mengekalkan kemungkinan teori eksperimen ketenteraan.
Selain itu, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini digunakan untuk mencipta simulasi peristiwa akhir yang dialami oleh para pendaki. Analisis terkini menunjukkan bahawa gabungan angin kencang, hipoterma dan runtuhan salji kecil mungkin menyebabkan mereka panik dan menjadi tidak rasional. Namun, beberapa aspek seperti kesan radiasi masih belum dapat dijelaskan sepenuhnya.
Kesimpulan
Lebih enam dekad telah berlalu, namun misteri Dyatlov Pass terus menghantui para penyiasat, saintis dan peminat teori konspirasi. Dari runtuhan salji hingga eksperimen ketenteraan, dari serangan makhluk asing hingga fenomena paranormal. Setiap teori ini menambahkan perasa lapisan misteri kepada tragedi ini.
Penemuan terbaru mungkin telah menjelaskan sebahagian daripada kejadian itu, tetapi persoalan terbesar masih belum terjawab iaitu mengapa pendaki yang berpengalaman bertindak di luar kebiasaan? Apa sebenarnya yang berlaku pada malam penuh tragadi ini? Mengapa terdapat radiasi pada tubuh pendaki? Selagi kita masih mencari kebenaran, kisah ini tidak akan mati.