Pelancongan Gelap: Industri Pelancongan Emosi dan Kegelapan

Setiap manusia mempunyai minat atau kecenderungan yang tersendiri. Begitu juga dengan bidang pelancongan. Individu ada citarasa mereka tersendiri untuk pergi melancong ke tempat yang mereka impikan. Contohnya ada yang suka ke tempat bersejarah, bandar-bandar maju, keadaan geografi, keagamaan dan pelbagai jenis pelancongan yang ada di dalam dunia. Pelancongan biasa dikaitkan dengan keadaan yang akan memberi pengalaman yang menyeronokkan. Tetapi bagaimana pula dengan pelancongan yang memberi kesedihan kepada pengunjung?

Pelancongan gelap atau dipanggil sebagai dark tourism merupakan satu cabang pelancongan yang mungkin tidak sinonim dengan masyarakat di negara kita tetapi di barat khususnya, terdapat golongan yang meminati pelancongan jenis ini.

Apa itu pelancongan gelap?

Pelacongan sejarah hitam atau gelap tidak ada kaitan dengan pelancongan ke tempat yang gelap seperti rumah berhantu di mana-mana funfair Pelancongan gelap merupakan satu fenomena dimana pelancong melawat ke sesuatu kawasan yang mempunyai peristiwa sejarah hitam manusia. Contoh peristiwa adalah seperti pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan tokoh, penyeksaan, peperangan, tempat berpuaka dan bala bencara yang diakibatkan secara semulajadi atau dibuat oleh manusia sendiri.

Foley dan Lenon (1996) mentafsirkan pelancongan gelap sebagai satu tindakan melancong ke kawasan yang berkaitan dengan kematian, tragedi dan penyeksaan. Kajian mengenai pelancongan hitam sudah lama dijalankan sejak sedekad yang lalu kerana fenomena manusia yang mula perasaan tertarik dengan sejarah yang menyedihkan. Ramai pengkaji mula menggunakan pelbagai istilah yang semaksud dengan pelancongan gelap seperti pelancongan kecelakaan, pelancongan kawasan hitam, pelancongan tidak sihat dan ada juga menggunakan pelancongan pheonix.

Pelacongan ke tempat-tempat yang menyedihkan tidak begitu ketara dalam masa dua dekad yang lepas. Pelancongan jenis ini meningkat sedikit demi sedikit setiap tahun walaupun tidak ada rekod kedatangan yang rasmi telah dijalankan oleh mana-mana negara, tetapi pengunjung mula ramai yang datang ke tempat yang sepatutnya bukan menjadi aset utama pelancongan di sesebuah negara. Sebagai contoh, kawasan tempat presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy tidak dijadikan sebagai kawasan pelancongan utama. Pada masa kini, kawasan ini secara tidak langsung menjadi tempat tumpuan manusia untuk melihat sendiri lokasi presiden Kennedy dibunuh oleh pembunuh upahan pada tahun 1963.

Pelancongan Gelap yang Semakin Meningkat di Era Moden

Kenapa pelancongan gelap semakin mendapat tempat dihati pelancong? Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Persoalan ini boleh dijawab dengan melihat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di masa lalu. Pada masa kini, keadaan politik dimana-mana negara hampir stabil. Bagaimana pula dengan negara yang masih mengalami peperangan seperti negara di Timur Tengah iaitu Palestin dan Syria? Negara-negara seperti ini tidak sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan kerana keadaan yang masih tidak selamat dan kemungkinan sekiranya keadaan sudah baik, negara ini boleh dilawati oleh penggemar pelancong yang meminati genre yang gelap.

Bagi negara-negara yang sudah stabil, sudah tentu mempunyai banyak peristiwa hitam yang pernah berlaku di negara mereka. Kawasan-kawasan bersejarah ini ada kalanya akan dibangunkan oleh kerajaan menjadi tapak pelancongan atau berkembang secara semula jadi dan tidak langsung menjadi tumpuan pengunjung.

Pada tahun 1990-an, sektor pelancongan meningkat mendadak dengan akses perhubungan seperti kapal terbang dan jalan darat yang semakin baik. Kerajaan di sesetengah negara yang cuba sedaya upaya mengoptimumkan sektor pelancongan untuk dilawati. Sebagai contoh negara negara contoh negara Rwanda adalah antara negara yang mempunyai kunjungan pelancong yang rendah. Ekonomi berasaskan pelancongan adalah antara sektor yang diambil perhatian. Kerajaan Rwanda telah mengambil inisiatif untuk memperuntukan kewangan yang besar untuk bidang pelancongan.

Rwanda terkenal dengan negara yang mempunyai taman negara yang terdiri tempat perlingunan haiwan dan gunung berapi. Kerajaan Rwanda telah melancarkan pelan jangka panjang industri pelancongan bagi 2022 hingga tahun 2026. Salah satu tapak yang menjadi sejarah hitam di negara iaitu   tapak Memorial Murambi sebagai tempat pelancongan agar kunjungan pelancong tidak hanya ditumpukan kepada Taman Negara Nyungwe.

Tapak Memorial Murambi (Wikipedia)

Pelancongan gelap semakin meningkat naik apabila pihak perfileman Netflix mengeluarkan sebuah dokumentari yang bertajuk ‘Dark Tourist’ iaitu sebuah dokumentari yang memaparkan jurnalis bernama David Farrier mengunjungi tempat-tempat yang mempunyai sejarah hitam hingga ke tempat yang berpuaka di dalam dunia.

Pihak media dan jurnalis banyak menyumbang kepada perkembangan pelancongan ke tempat-tempat yang mempunyai sejarah hitam. Media sosial juga memain peranan penting dalam menularkan kisah-kisah yang berkaitan melalui blog atau vlog sesetengah individu. Kita ambil contoh kawasan sejarah hitam yang berlaku di Madain Saleh, Arab Saudi. Seorang selebriti Malaysia memuat naik gambar beliau di media sosial berada di Al Ula yang dikatakan kota yang dilaknat oleh Allah S.W.T (walaupun sebenarnya kawasan beliau jauh dari Madain Salih). Isu ini mula tular di media sosial dan meningkatkan rasa ingin tahu pembaca dan penonton untuk mengetahui lebih lanjut tentang kawasan tersebut.

Genre seperti ini juga merupakan satu bentuk pelancongan jenis baru kerana tidak terlalu eksterim dan membahayakan. Setiap individu mempunyai minat mereke tersendiri. Pelancongan gelap kebiasaanya diminati oleh individu yang gemar tentang peristiwa sejarah. Kadang-kadang sesetengah individu kurang minat melancong ke kawasan alam sekitar atau kawasan yang terlalu sibuk dengan aktiviti manusia di bandar. Pelancongan gelap adalah pelacongan yang lebih santai dan tidak memerlukan tenaga yang tinggi untuk dilawati.

Pelancongan ini juga diminati bagi individu yang bersikap lebih sentimental dan empati. Tapak pelancongan gelap kebiasaannya terdiri daripada kisah-kisah yang menyedihkan dan menyanyat hati. Bagi orang yang ada perasaan mudah tersentuh hati, mereka lebih gemar ke kawasan ini berbanding kawasan pelancongan yang sibuk atau tempat berkaitan dengan alam.

Adakah Kita Boleh Mengunjungi Kawasan Gelap?

Jawapan untuk persoalan ini adalah bergantung dengan kawasan yang akan kita lawati. Pelancongan adalah sektor pendapatan sesebuah negara. Pelancongan gelap merupakan satu bentuk indunstri pelancongan yang baru di mana-mana negara. Oleh itu, setiap negara akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kemudahan, perhubungan dan pengetahuan di kawasan gelap yang dibangunkan. Kita sebagai pelancong boleh memilih kawasan pelancongan gelap yang benar-benar selamat kepada kita.

Sebenarnya banyak tempat-tempat yang bergenrekan pelancongan gelap di dunia ini selamat untuk dikunjungi. Sebagai contoh Hiroshima, Jepun yang merupakan sebuah bandar pernah diledakkan oleh negara Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua. Musium Genosid Tual Sleng di Kemboja serta Gua Tham Piew di negara Laos. Kunjungan ke tempat-tempat seperti ini akan memberi pengalaman lebih bermakna kepada pelancong kerana mereka sendiri melihat tapak kejadian secara fizikal.

Walaubagaimanapun, tidak semua tempat pelancongan yang bercirikan pelancongan gelap yang sesuai untuk semua orang. Ia bergantung terhadap keupayaan individu tersebut untuk kuat dari segi mental atau fizikal. Sebagai contoh, kita ambil bandar Fukushima yang tercemar dengan bahan radioaktif sekaligus menyebabkan bandar tersebut menjadi bandar berhantu pada tahun 2011. Kawasan ini dibuka oleh kerajaan Jepun untuk dijadikan satu tapak pelancongan gelap dan boleh dikunjungi oleh pelancong. Dalam siri ‘Dark Tourism’, pengacara David Farrier mengatakan makanan yang terdapat di restoren penduduk setempat yang belum selamat untuk dimakan kerana masih ada sisa radiasi. Walaubagaimanapun, pihak kerajaan Jepun menafikan kenyataan yang disebut oleh Farrier kerana pihak kerajaan sudah membelanjakan banyak duit untuk membersihkan kawasan tercemar di Fukushima.

Keupayaan mental juga perlu dititik berat bagi sesiapa yang ingin melancong ke tempat-tempat yang mempunyai vibe yang negatif. Pelancongan gelap biasanya mempunyai kisah yang menyedihkan melibatkan kematian dan penyeksaan. Bagi individu yang mempunyai masalah depresi dan kemurungan disarankan tidak mengunjungi ke tempat seperti ini kerana dikhuatiri akan menambah masalah depresi mereka. Imej-imej negatif seperti kubur dan tengkorak boleh menjadi pemacu kepada masalah anxiety dan depression. Oleh itu, kekuatan mental perlu dikuatkan kerana pelancongan adalah satu bentuk terapi bukan sebaliknya.

Potensi Pelancongan Gelap Di Malaysia

Pelancongan gelap di Malaysia mungkin masih baru dalam kalangan rakyat Malaysia kerana penggunaan istilah tersebut sangat jarang digunakan. Malaysia mempunyai sejarah hitam yang banyak dan mungkin kawasan ini tidak dibangunkan dengan sistematik atau tidak diisytiharkan sebagai kawasan pelancongan gelap. Sebenarnya banyak tempat di Malaysia yang mempunyai potensi besar untuk dijadikan tapak pelancongan gelap. Pelancongan gelap di Malaysia berpotensi menarik minat pelancong dari luar negara dan pelancong domestik kerana budaya dan sejarahnya yang pelbagai.

Mungkin ramai yang tidak tahu Pulau Langkawi boleh dijadikan sebagai satu tapak pelancongan gelap yang baik. Disebalik keindahan pemandangan pulau dan budaya di tempat ini, pihak kerajaan boleh mempromosikan kisah Lagenda Mahsuri sebagai batu asas tapak pelancongan gelap di Malaysia.  Semua orang tahu tentang sejarah Mahsuri namun satu langkah yang besar perlu dilakukan untuk melonjakkan nama Pulau Langkawi dan kisah Lagenda Mahsuri supaya nampak lebih beremosi dan berimpak kepada perasaan pengunjung. Promosi yang besar perlu diberi dilakukan untuk menjayakan projek seperti ini.

Di Sabah, terdapat satu tapak memorial Perang Dunia Kedua iaitu Kundasang War Memorial. Tapak Perang Memorial boleh dikira sebagai satu bentuk pelancongan gelap yang terdapat di Malaysia dan ada potensi lebih besar sekiranya dibangunkan dengan lebih baik.

Pada tahun 2021, kerajaan Sabah sudah memulakan langkah yang baik dengan melihat industri pelancongan gelap sebagai industri yang ada potensi. Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bengkuai telah menyenaraikan 40 kawasan yang terdapat di Sabah yang ada potensi untuk dijadikan kawasan pelancongan gelap di Malaysia. Diharap pembukaan pelancongan gelap di Sabah menjadi batu loncatan kepada industri pelancongan gelap di Malaysia sebagai satu bentuk pelancongan alternatif.

Sumber Rujukan

Bauer, I. L. (2021). Death as attraction: the role of travel medicine and psychological travel health care in ‘dark tourism’. Trop Dis Travel Med Vaccines: Issue 2021, 7: 24.

Magano, J., Fraiz-Brea, J. A., & Leite, A. (2022). Dark Tourist: Profile. Practices, Motivations and Wellbeing. International Journal Res Public Health: 2022 Oct, 19 (9).

McMah. (2018, September 4). Fukushima government considers action over Dark Tourist episode. Retrieved from News.com.au: https://www.news.com.au/travel/travel-updates/travel-stories/fukushima-government-considers-action-over-dark-tourist-episode/news-story/a94ac5b405b8607aa11490c7fed0a2f3

OPCA News. (2022). Obeservatory of Cultural Policies in Africa. No 423, 1 – 17.

Stephen Chen. (2022, December 28). In Japan’s Fukushima prefecture, produce and tourism are back on their feet more than a decade after triple disaster. Retrieved from South China Morning Post: https://www.scmp.com/presented/lifestyle/travel-leisure/topics/fukushima-coming-back-stronger/article/3203985/japans-fukushima-prefecture-produce-and-tourism-are-back-their-feet-more-decade-after-triple?campaign=3203985&module=perpetual_scroll_0&pgtype=ar

Sudaidah Roslan. (2021, Oktober 21). Pelancongan gelap bantu rancakkan industri pelancongan Sabah. Retrieved from Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/10/pelancongan-gelap-bantu-rancakkan-industri-pelancongan-sabah/

Related Posts