Tak Perlu Lawan Pun Menang? Kisah Ajaib Tentera Uthmaniyah

Bagaimana jika satu pasukan tentera kalah tanpa perlu bertempur? Bagaimana jika musuh tidak perlu mengangkat senjata untuk menang? Kedengaran mustahil, tetapi itulah yang berlaku dalam Pertempuran Karansebes pada tahun 1788 antara tentera Uthmaniyah dan tentera Austria. Peristiwa ini menjadi salah satu insiden paling memalukan dalam sejarah peperangan.

Pada abad ke-18, Empayar Uthmaniyah mengalami fasa kejatuhan dengan banyak kekalahan sepanjang sejarahnya. Salah satu peperangan yang memalukan kepada pihak Uthmaniyah ialah Pertempuran Uthmaniyah-Austria (1788 – 1791). Konflik ini adalah sebahagian daripada siri Perang Rusia-Uthmaniyah (1781 – 1792) dengan satu pertempuran yang terkenal dengan kejadian yang memalukan kepada kedua-dua pihak iaitu Pertempuran Karansebes (1788) di mana tentera Uthmaniyah tidak perlu bertempur langsung kerana tentera Austria secara tidak sengaja mengalahkan diri sendiri dalam keadaan yang penuh kekacauan.

Latar Belakang: Perjuangan Uthmaniyah Menentang Austria dan Rusia

Menjelang akhir abad ke-18, Empayar Uthmaniyah berada dalam fasa kemerosotan dan menghadapi kuasa-kuasa Eropah. Austria dan Rusia membentuk satu pakatan untuk melemahkan pengaruh Uthmaniyah di Eropah Tenggara. Austria, yang dipimpin oleh Maharaja Joseph II, melancarkan kempen ketenteraan di kawasan yang kini merupakan Romania dan Serbia dengan harapan dapat menawan wilayah Uthmaniyyah.

Peristiwa yang paling memalukan dalam perang ini berlaku pada 17 September 1788, berhampiran bandar Karansebes (kini dikenali sebagai Caransebes, Romania). Tentera Austria yang terdiri daripada kira-kira 100,000 askar sedang mara ke sempadan Uthmaniyah apabila satu rangkaian kesilapan bodoh membawa kepada salah satu kekalahan paling memalukan dalam sejarah ketenteraan.

Bagaimana Peristiwa Memalukan ini Bermula?

Pada 17 September 1788, sebuah unit kavalri ringan Austria (tentera berkuda yang digelar hussar) dihantar sebagai pasukan peninjau, telah merentasi Sungai Timis di sekitar Karansebes. Tugas mereka adalah untuk mencari tentera Uthmaniyah yang mungkin bersembunyi di kawasan tersebut.

Namun, selepas mencari di sekitar kawasan tersebut, mereka tidak menemui sebarang tanda kehadiran musuh. Sebaliknya mereke bertembung dengan sekumpulan peniaga gipsi (orang Roma) yang sedang menjual tong-tong arak.

Selepas beberapa hari berkempen dalam keadaan letih dan keletihan, para hussar melihat peluang ini sebagai satu cara untuk berehat dan berseronok. Mereka membeli arak dari orang Roma yang mereka temui sebagai ganjaran untuk mereka berehat sebentar. Namun, keseronokan yang tidak terkawal menyebabkan mereka minum arak secara berjemaah sehingga ramai yang mabuk. Keadaan ini berlangsung selama beberapa jam tanpa sebarang masalah sehinggalah pasukan infantri Austria tiba.

Pertengkaran Dalaman Tentera Austria

Tidak lama kemudian, unit infantri Austria yang lain tiba di tempat kejadian. Apabila mereka melihat para hussar sedang menikmati arak, tentara infantri menuntut bahagian mereka. Namun, para hussar menolak permintaan mereka kerana mereka telah membayar arak tersebut terlebih dahulu.

Keengganan mereka untuk berkongsi menyebabkan ketegangan meningkat, dan pertengkaran tercetus antara kedua-dua kumpulan ini. Dalam keadaan mabuk, ada yang mula menolak dan menjerit, manakala beberapa orang cuba merampas tong arak secara paksa.

Dalam keadaan huru-hara ini, seorang askar melepaskan tembakan, sama ada secara sengaja atau tidak sebagai amaran. Ketika tembakan dilepaskan, seseorang mungkin dalam keadaan mabuk menjerit “Turki! Turki!”, memberi amaran bahawa tentera Uthmaniyah sedang menyerang.

Jeritan ini sengaja mencetuskan gelombang ketakutan dalam kalangan tentera Autria. Keadaan ini menjadi semakin teruk kerana tentera Austria terdiri daripada pelbagai etnik dan pengguna bahasa yang berbeza. Ini termasuk kumpulan etnik Jerman, Hungary, Itali, Crotia dan Serbia dalam tentera Austria. Disebabkan ramai tidak memahami bahasa masing-masing, mereka menyangka jeritan tersebut sebagai arahan rasmi atau amaran sebenar.

Tentera Austria Mula Menembak Sesama Sendiri

Ketakutan dan kekeliruan semakin memuncak apabila lebih ramai askar mula melepaskan tembakan secara rawak dalam kegelapan. Tentera yang berada di bahagian belakang mendengar bunyi tembakan dan menyangka bahawa barisan hadapan mereka sedang benar-benar diserang oleh tentera Uthmaniyah.

Ramai yang tidak mengetahui apa yang berlaku segera mengarahkan serangan artileri untuk melindungi pasukan mereka, tetapi bunyi meriam itu mengenai tentera mereka sendiri menyebabkan lebih ramai panik dan melarikan diri.

Dalam tempoh beberapa jam, keadaan menjadi tidak terkawal. Ribuan tentera mula berlari kea rah yang bertentangan, meninggalkan khemah, senjata dan bekalan perang mereka. Malah Maharaja Joseph II yang berada berhampiran dengan barisan hadapan, turut melarikan diri dalam kekacauan tersebut.

Pengunduran Tentera Austria dalam Pertempuran

Ketika tentera Austria menyedari bahawa tiada sebarang serangan dari tentera Uthmaniyah, ia sudah terlambat. Mereka telah kehilangan ribuan askar akibat tembakan mereka sendiri, dan unit-unit mereka telah hancur sepenuhnya tanpa sebarang pertempuran sebenar.

Dua hari kemudian, apabila tentera Uthmaniyah yang sebenar tiba di Karansebes, mereka telah hanya menemui mayat-mayat, senjata yang ditinggalkan dan kem musuh yang kosong. Tanpa perlu mengangkat senjata, mereka memperoleh kemenangan paling mudah dalam sejarah.

Mengapa Perang ini Memalukan Bagi Uthmaniyah?

Tentera Uthmaniyah tidak menang kerana strategi atau kehebatan ketenteraan. Sebaliknya musuh mereka sendiri telah mengalahkan diri sendiri dalam keadaan mabuk dan panik.

Walaupun mendapat “kemenangan” ini, Uthmaniyah masih mengalami kekalahan besar dalam pertempuran lain dalam siri Perang Uthmaniyah-Rusia. Austria dan Rusia tetap berjaya dalam banyak pertempuran, menyebabkan empayar itu kehilangan lebih banyak wilayah. Insiden di Karansebes secara tidak langsung mendedahkan kelemahan mereka di pentas antarabangsa. Pada zaman sebelumnya, musuh-musuh Eropah akan takut dengan kuasa Uthmaniyah sehinggakan sebut nama Uthmaniyah sudah memadai merisaukan tentera musuh. Tetapi pada abad ke-18, tentera Uthmaniyah tetap boleh dihadapi oleh musuh walaupun musuh mereka berotak sewel seperti dalam Pertempuran Karansebes.

Kesimpulan

Perang ini berakhir pada 1791 dengan termeterai Perjanjian Sistova yang hanya membawa perubahan kecil dari segi wilayah. Namun, Pertempuran Karansebes tetap dikenang sebagai salah satu detik paling memalukan dalam sejarah Uthmaniyah bukan kerana mengalami kekalahan besar, tetapi kerana kemenangan mereka datang tanpa perlu bertempur langsung.

Related Posts