The Texas Chainsaw Massacre: Kisah Benar Atau Fiksyen? Kebenaran di Sebalik Filem Seram Ini

The Texas Chainsaw Massacre merupakan salah satu filem seram yang dikeluarkan untuk sire original pada tahun 1974. Filem ini bukan sekadar seram, tetapi juga paling menakutkan yang pernah dihasilkan. Imej yang mengerikan, suasana yang menyeramkan, dan tentunya watak pembunuh bertopeng kulit manusia, Leatherface, telah menghantui penonton selama beberapa abad.

Karakter seram dalam filem ini, Leatherface

Tetapi adakah filem ini berdasarkan kisah benar? Adakah benar-benar wujud seorang pembunuh bersenjatakan mesin gergaji rantai (chainsaw) di kawasan pedalaman Texas? Jawapannya ialah ya dan tidak. Walaupun The Texas Chainsaw Massacre bukanlah kisah sebenar, watak Leatherface sebenarnya diilhamkan daripada seorang pembunuh bersiri yang benar-benar wujud iaitu Ed Gein.

Siapa Ed Gein? Lelaki Sebenar di Sebalik Watak Leatherface

Ed Gein, yang dikenali sebagai “penyembelih dari Plainfeild,” ialah seorang pembunuh dan perompak kubur dari Wisconsin, bukannya Texas. Jenayahnya yang terbongkar pada tahun 1957, mengejutkan dunia kerana sifatnya yang sangat mengerikan. Gein terkenal kerana menggali kubur dan menggunakan bahagian tubuh mayat untuk membuat perabot, pakaian dan juga topeng.

Ed Gein: pembunuh di Plainfeild, Wisconsin

Jenayah Gein mula terbongkar pada 16 November 1957 selepas kehilangan seorang pemilik kedai perkakasan bernama Bernice Worden di bandar kecil Plainfeild, Wisconsin. Kehilangannya mencetuskan kecurigaan dan beberapa petunjuk akhirnya membawa kepada rumah Ed Gein.

Pada pagi 16 November 1957, Bernice Worden bertugas di kedai perkakasan miliknya. Resit terakhir yang dijumpai dalam kedainya menunjukkan transaksi pembelian satu tong minyak dan tiket jualan yang tertulis nama “Ed Gein”. Anak lelaki Bernice juga merupakan timbalan Sheriff, Frank Worden, menyedari bahawa Ed Gein adalah pelanggan terakhir yang berurusan dengan ibunya sebelum dia hilang.

Berdasarkan kecurigaan itu, pihak polis pergi ke rumah Gein yang terpencil di ladang Plainfeild. Apabila mereka masuk ke dalam rumahnya, mereka menemui satu pemandangan yang sangat mengerikan dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Polis menemui mayat Bernice Worden tergantung terbalik di bangsal rumahnya. Badannya dibelah dari dada hingga ke pangkal paha seperti cara seorang pemburu menyiang haiwan. Bukan itu sahaja, pihak polis menemui pelbagai bahagian tubuh manusia yang dijadikan perabot dan pakaian termasuk topeng muka manusia daripada kulit muka sebenar, kerusi dan lampshade yang diperbuat daripada kulit manusia dan tengkorak manusia yang dijadikan mengkuk.

Penemuan ini menjadi sensasi di seluruh Amerika Syarikat, penangkapa Gein membawa kepada pengakuan dia tentang pembunuhan seorang pemilik bar, Mary Hogan yang hilang tiga tahun sebelumnya. Dia juga mengaku menggali kubur-kubur wanita yang menyerupai ibunya.

Gein didapati tidak waras secara mental dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa, bukannya dihantar ke penjara. Gein menghabiskan sisa hidupnya di Central State Hospital dan kemudiannya di Mendota Mental Health Institute sebelum meninggal dunia pada 26 Julai 1984 akibat kegagalan jantung.

Bagaimana Kisah Ed Gein Mengilhamkan Leatherface dan Watak Seram Lain?

Pembuat filem The Texas Chainsaw Massacre tidak berniat untuk menghasilkan kisah benar, tetapi pengarah Tobe Hooper mengakui bahawa jenayah Gein menjadi inspirasi kepada watak Leatherface. Idea seorang pembunuh yang memakai kulit manusia sebagai ciri utama Leatherface yang diambil terus daripada perbuatan Gein.

Selain Leatherface, jenayah Gein juga memberi inspirasi kepada beberapa watak pembunuh terkenal lain dalam filem seram seperti Norman Bates dalam Psycho (1960). Sebuh kisah obsesi Bates terhadap ibunya mirip dengan hubungan Gein dengan ibunya, Augusta yang sangat mengawal hidup Ed Gein. Selain itu, kisah Gein juga mengilhamkan filem The Silence of Lambs (1991) dimana watak Buffalo Bill yang menguliti mangsanya untuk membuat “sut wanita”. Watak Dr Oliver Tredson dalam siri seram terkenal American Horror Story: Asylum (2012) juga diilhamkan dari kisah sebenarnya ini.

Adakah Ed Gein Menggunakan Gergaji Rantai?

Berbeza dengan watak Leatherface, Gein tidak dikenali sebagai pembunuh yang menggunakan chainsaw. Senjata utamanya ialah senapang dan pisau. Elemen gergaji rantai dalam The Texas Chainsaw Massacre sebenarnya hanyalah tambahan untuk menjadikan filem lebih menakutkan dan kejam.

The Texas Chainsaw Massace adalah Fiksyen Yang Kelihatan Seperti Realiti

Walaupun watak Leatherface diinspirasikan daripada Gein, The Texas Chainsaw Massacre sebahagian besarnya adalah rekaan semata-mata. Tiada keluarga pembunuh kanibal di Texas, tiada laporan mengenai kewujudan Leatherface yang sebenar, dan tiada rekod tentang seorang pembunuh bersenjatakan gergaji rantai memburu mangsa yang tersesat.

Namun, gaya penggambaran yang realistik dan unsur seram yang terasa begitu nyata membuatkan ramai percaya bahawa filem ini adalah berdasarkan kisah benar. Malah ketika filem ini mula ditayangkan, ramai penonton yakin bahawa ia benar-benar berlaku, terutamanya kerana teks pembukaan filem yang berbunyi:

What happened is true. Now the motion picture that is just as real.”

Strategi pemasaran ini berjaya menyakinkan penonton bahawa mereka sedang menonton kisah yang benar-benar berlaku, walaupun hakikatnya ia hanyalah fiksyen seram.

Kesimpulan: Garis Nipis Antara Realiti dan Fiksyen

Walaupun The Texas Chainsaw Massacre bukan kisah benar, elemen-elemen yang diinspirasi daripada kejadian sebenar menjadikannya lebih mengerikan. Jenayah Ed Gein terus memberi impak kepada dunia perfileman seram. Hal ini telah membuktikan bahawa kadang-kadang, kehidupan sebenar boleh menjadi lebih menakutkan daripada fiksyen. Jadi, apabila anda menonton The Texas Chainsaw Massacre, ingatlah Leatherface mungkin tidak pernah wujud, tetapi kengerian yang menginspirasikannya adalah sesuatu yang nyata.

Related Posts