Bila sebut tentang samurai asing di Jepun, ramai hanya kenal Yasuke, seorang hamba Afrika yang menjadi pengawl kepada Oda Nobunaga. Tapi tahukan anda, ada seorang lagi orang asing yang bukan sekadar menjadi samurai, tetapi menjadi penasihat utama kepada Tokugawa Ieyasu, pengasas shogun paling berkuasa dalam sejarah Jepun?
Inilah kisah William Adams, seorang pelaut Inggeris yang secara tidak sengaja ke Jepun pada tahun 1600, tetapi bukannya dihukum mati seperti kebanyakkan orang asing lain, dia diberikan kuasa, tanah dan gelaran seperti hatamoto (pengikut langsung shogun). Tidak seperti Yasuke yang hanya berkhidmat beberapa tahun sebelum hilang dalam sejarah, Adams hidup dan mati sebagai seorang samurai sejati.
Siapakah William Adams?
William Adams lahir pada 24 September 1564 di Gillingham, Kent, England. Beliau merupakah seorang pelaut dan pakar navigasi Inggeris yang menjadikan orang Inggeris pertama tiba di Jepun pada tahun 1600. Setelah kematian bapanya ketika beliau berusia 12 tahun, Adams menjadi perintis kepada Nicholas Diggins, seorang pemilik limbungan kapal (tempat membina dan membaiki kapal) di Limehouse. Disini beliau mempelajari ilmu maritim seperti pembinaan kapal, astronomi dan navigasi laut.
Pengalaman awal ini membentuk kerjayanya sebagai seorang pelaut yang akhirnya berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja England semasa pertempuran menentang armada Sepanyol pada tahun 1588. Dalam pertempuran ini beliau berkhidmat sebagai nakhoda kapal Richarde Dyfflyde di bawah pimpinan Sir Francis Drake. Tugas beliau adalah sebagai pembawa bekalan peluru dan bekalan makanan untuk armada Inggeris.
Kemudian, beliau bekerja dengan syarikat perdagangan seperti syarikat Barbary, memperoleh kemahiran berharga dalam pelayaran dan perdagangan. Beliau menjadi jurumudi untuk syarikat Barbary yang terlibat dalam perdagangan dengan Afrika Utara. Semasa tempoh ini, beliau dipercayai telah menyertai ekspedisi ke Artik untuk mencari laluan ke timur di sepanjang pantai Siberia
Perjalanan Ke Timur
William Adams menyertai ekspedisi ke Timur pada tahun 1598 sebagai jurumudi utama dalam armada lima kapal yang dihantar oleh sekumpulan pedagang Rotterdam dari Belanda. Beliau tertarik dengan perdagangan Belanda di India dan memutuskan untuk menyertai ekspedisi ini. Tujuan utama ekspedisi ini adalah untuk berdagang di Hindia Timur, khususnya di Kepulauan Maluku yang terkenal dengan hasil rempah ratus. Mereka merancang untuk berlayar melalui Tanjung Horn di Amerika Selatan menuju ke Hindia Timur.
Perjalanan ini berlaku sebelum penubuhan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dan Syarikat Hindia Timur Inggeris, namun matlamatnya adalah sama iaitu ingin memperolehi perak di Amerika Selatan yang akan kemudiannya akan ditukarkan kepada rempah ratus di Kepulauan Maluku. Perjalanan ini penuh dengan cabaran, termasuk ribut, penyakit dan kekurangan bekalan yang menyebabkan hanya satu kapal sahaja terselamat iaitu De Liefde. Pada April 1600, Adams secara tidak langsung sampai ke Jepun secara tidak sengaja dan bukannya menjadi destinasi utama mereka.
Bertemu dengan Shogun
Setibanya di Jepun, William Adams dan anak kapalnya ditahan dan diperlakukan sebagai tahanan oleh pihak berkuasa Jepun. Mereka dibawa menghadap Tokugawa Ieyasu, seorang daimyo berkuasa yang kemudiannya menjadi shogun pertama keshogunan Tokugawa. Pada mulanya Adams menghadapi ancaman hukuman mati, tetapi setelah perbincangan dengan Ieyasu, beliau berjaya menarik perhatian Ieyasu dengan pengetahuannya dalam bidang navigasi laut, pembinaan kapal dan dunia Barat.

Pada era ini, Jepun masih belum lagi mengamalkan dasar tutup pintu secara rasmi. Pada tahun 1600, Tokugawa lebih berminat untuk memahami dan mengawal hubungan Jepun dengan dunia luar daripada menutup pintu sepenuhnya. Sebagai seorang pimimpin yang bijak, Tokugawa memahami bahawa orang Eropah memiliki tekonologi ketenteraan dan maritim yang boleh digunakan untuk memperkuatkan kedudukannya.
Sebagai seorang jurumudi dan pembuat kapal yang berpengalaman, beliau menawarkan sesuatu yang amat berharga kepada Tokugawa iaitu ilmu tentang pembuatan kapal dan strategi perdagangn antarabangsa. Adams membantu kapal bergaya barat pertama untuk Jepun, yang memberikan Tokugawa lebih kebebasan dalam mengendalikan hubungan perdagangan dan ketenteraan dengan negara-negara luar.
Tokugawa ingin mengimbangi pengaruh Katolik Portugis di Jepun
Sebelum kedatangan Adams, orang Portugis telah lama berdagang di Jepun dan menyebarkan agama Kristian melaui para mubaligh Katolik. Mereka cuba mempengaruhi daimyo Jepun dengan senjata api dan kekayaan. Namun, Tokugawa Ieyasu mempunyai rasa kurang senang dengan niat baik mereka.
Adams sebagai seorang bermazhab Protestan Inggeris yang menentang kuasa Katolik Portugis dan Sepanyol, menjadi aset berharga bagi Tokugawa. Dengan bantuan Adams, Tokugawa dapat berhubung dengan Belanda dan Inggeris, yang memberikan alternatif perdagangan tanpa ancaman penyebaran agama Katolik yang nampak lebih agresif di Jepun.
William Adams diberikan pengkat samurai
Sebagai bukti penghormatan kepada Adams, Tokugawa memberikannya gelaran samurai, tanah dan kedudukan sebagai hatamoto (pengikut langsung Shogun). Sebagai pengiktirafan atas sumbangnya, Tokugawa menganugerahkan Adams dengan dua bilah pedang, simbol status samurai dan memberikan nama Jepun iaitu Miura Anjin.
Walaupun Adams tidak melalui latihan tradisional samurai atau kod bushido sepenuhnya, pengetahuannya dalam navigasi dan pembinaan kapal menjadikannya aset berharga kepada Tokugawa. Penganugerahan status samurai kepadanya lebih bersifat simbolik dan sebagai tanda penghormatan atas peranannya sebagai penasihat.
Oleh itu, walaupun Adams tidak melalui proses tradisional untuk menjadi samurai, keahliannya yang unik dan hubungannya dengan Tokugawa membolehkannya memperoleh status tersebut tanpa perlu melalui ujian atau latihan yang biasa diperlukan.
William Adams Dalam Budaya Pop
Kisah William Adams sebagai Miura Anjin telah memberi inspirasi kepada pelbagai karya dalam budaya popular. Salah satu yang paling terkenal ialah novel “Shogun” karya James Clavell yang diterbitkan pada tahun 1975. Novel ini mengisahkan seorang pelaut Inggeris bernama John Blackthrone yang tiba di Jepun pada abad ke-17 dan menjadi penasihat kepada seorang daimyo. Walaupun watak John Blackmore adalah fiksyen, ia berdasarkan pada kehidupan William Adams. Novel ini kemudiannya diadaptasi menjadi mini series pada tahun 1980. Pada tahun 2024, Disney Hotstar+ telah mengeluarkan siri televisyen berdasarkan novel ini bertajuk “Shogun” yang dilakonkan oleh Cosmo Jarvis selaku Kapten John Blackmore.
Selain itu, William Adams juga muncul sebagai watak utama dalam permainan video “Nioh” yang dikeluarkan pada tahun 2017. Dalam permainan aksi ini, pemain mengawal watak bernama William, seorang samurai bukan berbangsa Jepun yang berjuang melawan pelbagai musuh dari alam ghaib di Jepun semasa era Sengoku.

Kesimpulan
William Adams diterima oleh Tokugawa Ieyasu bukan kerana negara Jepun terbuka kepada orang asing secara keseluruhan, tetapi kerana kepakarannya sangat berguna dalam tempoh peralihan Jepun menuju pemerintahan Shogun Tokugawa. Malah, boleh dikatakan Adams tiba di Jepun pada masa yang tepat iaitu ketika Tokugawa masih mencari cara untuk mengukuhkan kedudukannya di Jepun.
Hanya selepas Jepun stabil di bawah Tokugawa, barulah dasar Sekoku diperkenalkan untuk mengawal sepenuhnya hubungan dengan dunia luar. Namun, sebelum dasar ini dikuatkuasakan, Adams sempat memainkan peranan penting dalam sejarah Jepun sebagai penasihat penting kepada Tokugawa.