Yasuke: Kisah Samurai Kulit Hitam Pertama Di Jepun Yang Jarang Diketahui

Bayangkan seorang lelaki dari Afrika, bertubuh tinggi dan tegap, berdiri di tengah-tengah dunia samurai Jepun pada abad ke-16. Dengan pedang di pinggang dan keberanian di hati, dia tidak hanya menjadi pengawal biasa, tetapi seorang samurai sejati yang berkhidmat di bawah salah satu penglima perang berkuasa di Jepun iaitu Oda Nobunaga.

Itulah kisah Yasuke, seorang lelaki luar biasa yang melangkaui batasan bangsa dan budaya untuk mencipta sejarah. Dalam dunia feudal Jepun yang ketat dengan sistem kelas dan adat istiadat, bagaimana seorang lelaki asing bukan sahaja diterima tetapi juga diberikan status yang begitu tinggi.

Kisah Yasuke, seorang lelaki Afrika yang menjadi samurai pertama di Jepun, adalah salah satu bab sejarah yang paling unik dan menarik. Dari seorang pelayan kepada seorang pahlawan dalam perkhidmatan salah seorang panglima perang terkuat Jepun, perjalanan yasuke menunjukkan bahawa keberanian dan kesetiaan dapat mengatasi perbezaan bangsa serta asal usul. Walau bagaimanapun, terdapat persoalan adakah Yasuke benar-benar samurai atau tidak?

Asal Usul Yasuke dan Kedatangan Ke Jepun

Asal usul Yasuke masih menjadi misteri, tetapi terdapat teori bahawa beliau berasal dari Mozambique, Ethiopia atau Sudan. Pada tahun 1579, beliau tiba di Jepun sebagai pembantu kepada mubaligh dari Itali, Alessandro Valignano, yang sedang mengawasi misi penyebaran agama Kristian di Asia.

Dengan ketinggian lebih dari enam kaki serta fizikal yang tegap, Yasuke menarik perhatian penduduk Jepun, yang tidak pernah melihat seseorang dengan ciri-ciri seperti beliau. Kehadirannya menimbulkan kekecohan, dengan orang ramai berpusu-pusu ingin melihatnnya dengan mata mereka sendiri.

Pada tahun 1581, Yasuke tiba di Kyoto dan bertemu dengan Oda Nobunaga, seorang daimyo (panglima perang) berkuasa yang terkenal dengan pemikiran terbuka dan minatnya terhadap budaya asing.

Menurut catatan sejarah, Nobunaga pada awalnya menyangka kulit Yasuke diwarnakan dengan dakwat dan mengarahnya untuk mencuci badan. Apabila mendapati warna kulitnya adalah semulajadi, Nobunaga menjadi lebih tertarik dan akhirnya mengambil Yasuke sebagai pengikutnya.

Terkesan dengan keperibadian dan kekuatan Yasuke, Nobunaga memberi nama Yasuke dan dilantik sebagai samurai, menjadikan orang asing pertama mencapai status tersebut di Jepun. Sebagai samurai, Yasuke diberi penghormatan untuk menjadi pembawa senjata Nobunaga dan berkhidmat sebagai pengawal peribadi. Sebagai tanda penghormatan, Nobunaga memberikan Yasuke tempat tinggal serta gaji, menandakan statusnya yang tinggi dalam lingkungan istananya.

Peranan dan Tanggungjawab Yasuke

Sebagai seorang samurai dalam berkhidmat dengan Nobunaga, Yasuke bukan sekadar pengawal peribadi tetapi juga seorang pahlawan yang dipercayai. Catatan sejarah seperti Shincho Koki menyatakan bahawa Yasuke mempunyai kekuatan seperti sepuluh lelaki biasa.

Beliau turut menyertau pelbagai kempen ketenteraan bersama Nobunaga, termasuk lawatan pemeriksaan selepas kemenangan ke atas puak Takeda pada tahun 1582. Peranan Yasuke sebagai samurai bukan sahaja melibatkan pertarungan, tetapi juga menunjukkan pengiktirafan kepadanya dalam dunia ketenteraan Jepun.

Peristiwa Honno-ji

Puncak perjalanan Yasuke dalam sejarah Jepun berlaku pada 21 Jun 1582, ketika berlaku Insiden Honno-ji, salah seorang jeneral Nobunaga, Akechi Mitsuhide, melancarkan serangan mengejut terhadap Nobunaga di Kuil Honno-ji di Kyoto. Yasuke bertempur mempertahankan tuannya, tetapi apabila melihat tiada jalan keluar, Nobunaga memilih untuk melakukan seppuku (salah satu ritual bunuh diri dalam budaya masyarakat Jepun).

Selepas kematian Nobunaga, Yasuke terus bertempur bersama Oda Nobutada (anak Nobunaga) di Istana Nijo. Namun, mereka akhirnya dikalahkan dan Yasuke ditangkap oleh Akechi Mitsuhide. Berbeza dengan kebanyakkan samurai yang dihukum bunuh selepas kekalahan, Yasuke telah diampunkan. Mitsuhide dikatakan menganggap Yasuke sebagai seorang “bukan Jepun” dan menyerahkannya kepada pihak mubaligh Kristian. Selepas peristiwa ini, nasib Yasuke tidak diketahui.

Status Yasuke Sebagai Samurai Atau Sekadar Pembantu Peribadi?

Terdapat beberapa perdebatan di kalangan sejarawan mengenai sama ada Yasuke benar-benar seorang samurai dalam erti kata tradisional. Walaupun beliau tanpa ragu seorang pahlawan yang berkhidmat di bawah Oda Nobunaga, gelaran “samurai” mempunyai makna khusus dalam budaya dan sistem sosial feudal Jepun. Dalam sistem feudal Jepun, status samurai selalunya diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. Yasuke, sebagai seorang warga asing dari Afrika, tidak mempunyai hubungan dengan kelas samurai. Walaupun Nobunaga memberinya kedudukan sebagai pahlawan serta gaji, tiada rekod yang menunjukkan bahawa Yasuke diberikan tanah (fief), yang merupakan salah satu ciri utama seorang semurai sejati.

Kebanyakkan semurai setia kepada seorang daimyo dan selepas kematian tuan mereka, mereka biasanya akan berkhidmat di bawah seorang pemimpin lain atau melakukan seppuku. Selepas Nobunaga terbunuh dalam insiden Honno-ji, Yasuke tidak terus berkhidmat di bawah daimyo lain. Sebaliknya, beliau ditangkap oleh tentera Akechi Mitsuhide dan dilaporkan dihantar kembali kepada pihak mubaligh. Samurai sejati tidak akan mudah mengaku kalah dan biasanya bertempur ke titisan darah terakhir atau masuk ke dalam keluarga samurai yang lain.

Kebanyakkannya samurai mempunyai nama rasmi dan dikaitkan dengan klan/keluarga tertentu. Walaupun Nobunaga dikatakan memberi Yasuke nama Jepun, tiada rekod rasmi yang menghubungkannya dengan mana-mana klan samurai. Tidak seperti tokoh asing lain seperti William Adams (yang menjadi Miura Anjin dan dianugerahkan gelaran samurai secara rasmi).

Menjadi samurai bukan sekadar tentang bertempur, ia juga melibatkan tugas pentadbiran, pemerintahan, serta pematuhan kepada bushido (kod etika samurai). Atau dalam erti kata mudah seperti sistem pembesar empat lipatan dalam kerajaan Melayu. Samurai merupakan peringkat ketiga dalam hierarki sosial sistem feudal Jepun dan mempunyai tanggungjawab dalam mengurus tanah yang dikurniakan oleh ketua mereka. Tiada bukti Yasuke terlibat dalam urusan birokrasi atau menerima latihan mendalam dalam tradisi klasik samurai seperti puisi, kaligrafi atau falsafah konfusianisme.

Legasi dan Pengaruh Yasuke

Dalam budaya pop, kisah Yasuke telah mengispirasikan pelbagai cabang seperti animasi, filem dan sastera. Yasuke dalam animasi dan komik telah menghasilkan animasi Yasuke (2021) sebuah siri anime di Netflix yang mengisahkan perjalanan Yasuke sebagai samurai berkulit hitam pertama di Jepun. Siri ini menggabungkan elemen sejarah dengan fantasi dan sains fiksyen. Animasi ‘Afro Samurai’ juga walaupun tidak secara langsung berdasarkan Yasuke, francais ini diinspirasikan oleh konsep samurai Afrika dan telah menarik perhatian ramai.

Siri Yasuke di Netflix (2021): Sumber Netflix

Sastera ‘Kuro-suke’ (1968) adalah buku cerita kanak-kanak oleh Kurusu Yoshio yang menggambarkan Yasuke sebagai lelaki ceria dan kuat bekerja, membuktikan dirinya sebagai salah satu pengikut setia Oda Nobunaga.

Kesimpulan

Walaupun Yasuke merupakan seorang pahlawan elit yang berkhidmat rapat dengan Oda Nobunaga, tiada bukti kukuh bahawa beliau dianugerahkan status penuh sebagai samurai, seperti yang difahami dalam konteks Jepun feudal. Sebaliknya beliau mungkin lebih tepat digambarkan sebagai seorang pengikut asing yang sangat dihormati atau seorang ashigaru (askar pejalan kaki) yang dinaikkan pangkat kerana kekuatan dan kesetiaannya. Namun begitu, kisah Yasuke tetap luar biasa, dan legasinya sebagai seorang pahlawan Afrika di Jepun terus memberi inspirasi dalam pelbagai adaptasi moden seperti anime, filem dan sastera.

Related Posts